1.5kg ikan percuma untuk sebuah rumah

Abdul Rahim (tengah) meminta pekerjanya membungkus 1.5 kilogram pelbagai jenis ikan sebelum diagihkan kepada warga Kuantan.
Abdul Rahim (tengah) meminta pekerjanya membungkus 1.5 kilogram pelbagai jenis ikan sebelum diagihkan kepada warga Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pemilik bot nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang mengambil inisiatif menyumbang 1.5 kilogram ikan kepada warga Kuantan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Wakil pemilik bot, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, inisiatif bertujuan meringankan beban masyarakat yang sukar mendapatkan hasil laut.

"Saya bersama 50 pemilik bot sepakat melakukan kerja amal ini dan kami bersetuju memberi antara 100 hingga 200 kilogram pelbagai jenis ikan kepada saya.

"Jadi, dalam sehari kita dapat kumpul antara 1,000 hingga 2,000 kilogram ikan dan kita agihkan kira-kira 1.5 kilogram pelbagai jenis ikan kepada sebuah rumah di daerah ini," katanya ketika ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kompleks LKIM hari ini.

Beliau berkata, setiap rumah akan menerima ikan seperti ikan kerisi, selayang, cencaru, tamban, pelaling, tongkol dan sotong.

"Bekalan ini cukup untuk bekalan mereka dalam tempoh dua atau tiga hari tanpa perlu keluar rumah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti pengagihan ikan dilakukan sejak lima hari lalu dengan mengagihkan lebih 8,000 kilogram hasil laut.

"Sebelum ini kita sudah agihkan kepada penduduk Sungai Lembing, Bukit Setongkol, Indera Mahkota, Taman Cenderawasih, Kampung Tiram, Taman Impian dan Felda Panching.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan rangkaian agihan ini akan berubah dari semasa ke masa mengikuti sumbangan daripada pemilik bot tetapi kita yakin agihan ini di seluruh daerah ini,"katanya.

Abdul Rahim berkata, selain hasil laut, pemilik bot juga membuat kutipan derma bagi membeli barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.