Presma cadang kerajaan ubah waktu operasi perniagaan sempena Ramadan

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mencadangkan waktu perniagaan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Ramadan diubah bagi memudahkan umat Islam membeli juadah bersahur dan berbuka.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ketika ini waktu perniagaan dibenarkan sepanjang PKP adalah dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Menurutnya, memandangkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April dan bulan puasa dijangka jatuh pada 24 April ini, beliau berharap waktu operasi perniagaan diubah kepada jam 5 pagi hingga 6 petang sepanjang Ramadan.

"Dengan cara itu, kita semua boleh berpuasa di dalam tempoh PKP tanpa banyak masalah kerana restoran yang menjual makanan Muslim dibuka pada waktu tersebut.

"Presma berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jawahar turut menyeru kerajaan untuk mengekalkan levi pekerja asing pada harga RM2,085.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan menetapkan kadar levi sebanyak RM6,000 bagi pekerja asing yang bekerja lebih 10 tahun di negara ini.

"Justeru, Presma meminta agar kerajaan mengekalkan harga sebelum ini iaitu RM2,085 meliputi bayaran visa, levi perkhidmatan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ada dalam kalangan ahli Presma yang mempunyai pekerja melebihi tempoh 10 tahun bekerja di negara ini dan masih boleh menyumbang kepada perniagaan majikannya, namun kadar yang dikenakan terlalu tinggi dan membebankan pengusaha," katanya.