Impian tunggang MotoGP milik juara dunia jadi realiti

MISANO ADRIATICO, ITALI – Impian yang dipupuk sejak usia tujuh tahun akhirnya menjadi kenyataan buat Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin apabila beliau ditawarkan merasai Ducati Riding Experience (DRE) MotoGP sempena World Ducati Week (WDW) 2026 secara eksklusif oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali.
Lebih membanggakan, beliau menjadi satu-satunya rakyat Malaysia dalam kalangan pelanggan setia yang berpeluang merasai pengalaman menerusi acara berprestij itu sempena ulang tahun ke-100 Ducati.
Nazir Hussin, 47, yang juga Presiden Kelab Pemilik Rasmi Ducati Malaysia (DOCM) melakar sejarah peribadi apabila berpeluang menunggang motosikal MotoGP milik juara dunia dari Sepanyol, Marc Marquez Alenta, serta jentera Superbike World Championship (WSBK) milik pelumba Itali, Niccolo Bulega, dan mengelilingi Misano World Circuit Marco Simoncelli selepas WDW 2026.
Beliau berkata, ia merupakan peluang keemasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana bukan calang-calang individu diberikan keistimewaan sedemikian meskipun ramai peminat dunia permotoran berkemampuan dari segi kewangan.
“Saya diberi keistimewaan menunggang motosikal MotoGP dan WSBK bersama pasukan Ducati Corse. Mekanik, jurutera, pakar teknikal dan seluruh pasukan MotoGP juara dunia menyediakan motosikal tersebut untuk saya serta peserta lain.
“Kali ini, difahamkan jumlah keseluruhan peserta yang terpilih untuk merasai pengalaman ini ialah seramai 26 orang termasuk saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ahli perniagaan yang kini memiliki lebih 20 unit motosikal Ducati pelbagai jenis itu memaklumkan bahawa acara DRE MotoGP sangat eksklusif dan hanya ditawarkan kepada individu tertentu atau pelanggan bertaraf top-tier.
Menurutnya, golongan yang sangat kaya sekali pun tidak diberikan keistimewaan sedemikian oleh pengurusan tertinggi Ducati kerana bukan wang yang menjadi sandaran, sebaliknya nilai kesetiaan dan sokongan tanpa berbelah bahagi.
Beliau turut menambah, pemilihannya mungkin disebabkan beliau memiliki kesemua koleksi edisi terhad Ducati termasuk Ducati Superleggera, motosikal berprestasi tinggi dengan anggaran berat 150 kilogram dan hampir 250 kuasa kuda, menyamai jentera prototaip MotoGP.
Memandangkan Ducati Superleggera baharu dilancarkan pada Mac lalu dalam dua versi yang dihadkan kepada 100 dan 500 unit, Nazir Hussin berkata, pelanggan setia diberi peluang melihat motosikal tersebut secara langsung tiga bulan sebelum pelancaran rasminya.
“Belum dilancarkan kepada orang awam, saya merupakan pemilik pertama dan pembeli terawal dua unit edisi terhad Ducati Superleggera pada Januari.
“Ketika itulah Claudio Domenicali memutuskan untuk menawarkan saya DRE MotoGP serta WSBK atas kesetiaan dan komitmen tinggi saya terhadap Ducati.
“Boleh dikatakan ‘kegilaan’ yang menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi buat saya secara peribadi. Walaupun pada dasarnya saya bukan pelumba profesional, saya hanyalah orang biasa yang meminati motosikal berkuasa tinggi,” ujarnya.

Perlu lepasi skor pemarkahan
Nazir Hussin memaklumkan bahawa semua peserta diberikan taklimat serta menjalani latihan simulator terlebih dahulu bagi melepasi skor pemarkahan tertentu sebelum dibenarkan menunggang motosikal tersebut di litar sebenar.
Katanya, peserta diberi peluang menguji kemampuan motosikal itu selaju mungkin selagi tidak menyebabkan kerosakan serius pada kerangka, enjin, pedal brek dan komponen lain.
Bagi dirinya yang sudah biasa dengan trek sejauh 4.2 kilometer di Misano World Circuit Marco Simoncelli, ketetapan itu tidak menjadi halangan.
“Alhamdulillah, skor saya berada pada kedudukan teratas semasa latihan simulator. Selepas itu, jurulatih akan bertanya spesifikasi enjin dan brek yang sesuai mengikut kemampuan saya.
“Bukan semua yang datang ke acara ini benar-benar terlatih dan berjiwa kelajuan seperti saya. Apabila menunggang motosikal ini, perasaannya seperti memandu sebuah jet yang meluncur laju, seolah-olah memecut dari sifar hingga 350 kilometer sejam tanpa sebarang kesukaran,” jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.
WDW 2026 diadakan selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Julai, menghimpunkan lebih 118,000 ahli kelab Ducati dari seluruh dunia.
Ditanya mengenai reaksi ahli DOCM berhubung pembabitannya dalam acara dwitahunan itu, Nazir Hussin berkata, mereka teruja dan tidak sabar mendengar perkongsian pengalaman eksklusif tersebut.

Tambahnya, seramai 100 ahli DOCM turut terbang ke Itali bagi menghadiri WDW 2026 sebelum meneruskan jelajah ke empat negara lain di bawah kelolaan kelab.
“Uniknya WDW 2026 kali ini adalah sempena ulang tahun ke-100 Ducati, justeru pelbagai acara menarik serta persembahan disediakan. Sudah pasti ramai ahli tidak mahu melepaskan peluang ini.
“Mereka turut berkongsi kegembiraan, tidak putus-putus mengucapkan tahniah dan meminta saya berkongsi pengalaman kerana walaupun seseorang itu mempunyai wang dan mampu membayar berapa sahaja, tetapi Ducati tidak memandang aspek itu semata-mata. Bagi mereka, ini bukan soal wang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih sambil menyampaikan pesanan kepada peminat dunia permotoran berkuasa tinggi serta pengikutnya di media sosial yang memasang impian sama.
Jelas Nazir Hussin, anak muda perlu mencipta jejak langkah sendiri kerana dunia tidak memerlukan peniru, sebaliknya insan yang berani menjadi luar biasa.
“Kalau suatu hari nanti ada yang mahu mengatasi saya, saya akan menjadi orang pertama yang berbangga kerana seorang guru tidak pernah takut apabila anak muridnya menjadi lebih hebat.
“Saya tahu ramai yang mengidolakan saya dan terinspirasi apabila melihat saya berdiri di atas podium kehidupan.
“Namun, sangat sedikit yang melihat berapa kali saya jatuh sebelum mampu berdiri setinggi ini. Tiada jalan pintas. Tiada keajaiban. Yang ada hanyalah disiplin ketika orang lain sedang berehat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
