Beza usia 48 tahun bukan penghalang

Che Zainun Che Ahmad, 32, berkata, walaupun sering disalah anggap sebagai anak kepada suaminya, Hazlan Hajar, 80, dia tidak lagi menjadikan perkara itu sebagai beban selepas sedekad mendirikan rumah tangga.
Che Zainun Che Ahmad, 32, berkata, walaupun sering disalah anggap sebagai anak kepada suaminya, Hazlan Hajar, 80, dia tidak lagi menjadikan perkara itu sebagai beban selepas sedekad mendirikan rumah tangga.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbezaan usia hampir lima dekad tidak menjadi penghalang buat seorang wanita di Kelantan untuk membina rumah tangga yang bahagia bersama suaminya.

Che Zainun Che Ahmad, 32, berkata, walaupun sering disalah anggap sebagai anak kepada suaminya, Hazlan Hajar, 80, dia tidak lagi menjadikan perkara itu sebagai beban selepas sedekad mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, hubungan mereka bermula sebagai kenalan di Facebook sebelum berkembang menjadi ikatan perkahwinan hasil keserasian yang terjalin.

"Pada mulanya kami hanya berkawan, tetapi sikap penyabar dan kematangan suami membuatkan saya yakin untuk berkahwin dengannya.

"Saya juga memang lebih selesa dengan lelaki yang lebih berusia berbanding lelaki sebaya," katanya.

Che Zainun berkata, sebelum mengenali Hazlan, dia pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki seusia, namun tidak menemui keserasian.

Katanya, keputusan berkahwin ketika berusia 22 tahun dengan Hazlan yang ketika itu berumur 70 tahun pada awalnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.

"Mereka merestui pilihan saya, cuma bimbang faktor usia suami terutama dari segi kemampuan memberi nafkah batin.

"Bagi saya, umur hanyalah angka. Alhamdulillah, kami kini dikurniakan dua cahaya mata, masing-masing berusia sembilan tahun dan seorang lagi baru berusia sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Hazlan juga sentiasa menjaga kesihatan melalui pemakanan yang baik dan sehingga kini tidak menghidap sebarang penyakit.

Mengulas kehidupan berumah tangga, Che Zainun mengakui suaminya bukan seorang yang romantik, namun sikapnya yang jujur dan berterus terang banyak membantu mengelakkan perselisihan faham.

Katanya, jurang usia yang besar menyebabkan mereka mempunyai minat, gaya hidup dan cara berfikir yang berbeza, namun dia memilih untuk lebih banyak bertolak ansur demi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Dalam masa sama, Che Zainun menasihatkan wanita lain supaya tidak terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin dengan pasangan yang jauh lebih berusia, terutama jika lelaki itu berstatus duda.

Jelasnya, perkahwinan seperti itu menuntut tahap kesabaran, kematangan emosi dan persefahaman yang tinggi kerana setiap pasangan mempunyai cabaran yang berbeza. - Keluarga. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!