Layani tetamu, tuai berkat hospitaliti Islam
176 juta pelancong Muslim mencari destinasi, namun adakah hotel kita bersedia?

MALAYSIA sekali lagi dinobatkan sebagai destinasi mesra Muslim nombor satu dunia dalam Indeks Perjalanan Muslim Global (GMTI) 2025 diterbitkan Mastercard-CrescentRating.
Pencapaian untuk tahun kesepuluh berturut-turut ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak, namun adakah industri perhotelan kita sudah cukup bersedia merebut peluang emas pasaran pelancongan halal yang dijangka bernilai AS$310 bilion menjelang 2030?
Menurut laporan GMTI 2025 yang dilancarkan pada 12 Jun 2025, seramai 176 juta pelancong Muslim melancong ke seluruh dunia pada tahun 2024, meningkat 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka ini dijangka melonjak kepada 262 juta menjelang 2030 dengan anggaran perbelanjaan mencecah AS$310 bilion.
Di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa 4.82 juta pelancong Muslim direkodkan memasuki negara ini dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM15 bilion setakat November 2024.
Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 4.5 juta pelancong dengan perbelanjaan RM14.7 bilion pada 2023. Pertumbuhan ini secara tidak langsung mempertingkatkan tuntutan terhadap penginapan mesra Muslim.
Rapatkan jurang
Pengiktirafan Penginapan Mesra Muslim (MFAR) yang diperkenalkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) pada tahun 2019 merupakan pengiktirafan pelancongan Islam pertama di dunia dikeluarkan agensi kerajaan.

Program ini mematuhi piawaian Malaysian Standard dan menyokong perniagaan yang menawarkan nilai tambah kepada pelancong Muslim melalui produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan berteraskan akidah dan amalan keagamaan.
Namun, statistik terkini mendedahkan hakikat yang perlu diberi perhatian. Walaupun Malaysia mempunyai lebih 5,500 hotel berdaftar, jumlah hotel yang memegang pengiktirafan MFAR aktif masih terhad.
Sebahagian hotel tidak memperbaharui pengiktirafan selepas tempoh sah dua tahun, mungkin disebabkan perubahan dalam pengurusan, cabaran terhadap pematuhan pensijilan atau keputusan perniagaan strategik.
Meskipun wujud pelbagai cabaran, pensijilan MFAR sebenarnya selari dengan tuntutan agama dalam memuliakan tetamu.
Islam mengajar umatnya untuk memberikan layanan terbaik kepada tetamu sebagai manifestasi keimanan kepada ALLAH SWT.
Memuliakan tetamu bukan sekadar menyediakan bilik yang selesa, tetapi memahami dan menghormati keperluan spiritual mereka dengan menyediakan ruang solat yang selesa, makanan halal yang terjamin dan perkhidmatan mesra budaya.
Justeru, pensijilan MFAR adalah mekanisme praktikal untuk merealisasikan tuntutan agama dalam konteks industri perhotelan moden.
Seperti yang dijelaskan oleh ITC, konsep 'Muslim-friendly' bukan 'Muslim-only', namun secara prinsipnya terkandung nilai-nilai murni seperti hospitaliti, kebersihan dan etika perniagaan yang memberi manfaat kepada semua pelancong tanpa mengira agama.
Persaingan semakin sengit Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Persaingan dalam pasaran pelancongan mesra Muslim global semakin sengit.
Menurut GMTI 2025-2026, Indonesia, Saudi Arabia dan Turkiye kini muncul sebagai peneraju kedua di peringkat global. Singapura pula kekal sebagai peneraju dalam kalangan negara bukan OIC dengan penekanan kepada inklusiviti dan sensitiviti budaya.

Hong Kong pula menerima pengiktirafan sebagai destinasi mesra Muslim yang paling menjanjikan, dengan peningkatan skor GMTI sebanyak 10 mata.
Terdapat 61 hotel bertauliah oleh CrescentRating dan 153 restoran yang mempunyai sijil halal.
Langkah ke hadapan
Memandangkan pensijilan MFAR berpotensi dalam melestarikan industri perhotelan negara, beberapa langkah strategik perlu diambil:
1 – Komitmen tulen pengurusan Hotel perlu melihat MFAR sebagai pelaburan strategik, bukan beban peraturan.
Hotel yang meletakkan MFAR sebagai teras strategik perniagaan berpotensi menyaksikan peningkatan dari segi kedatangan dan kesetiaan pelancong Muslim.
2 – Pembangunan modal insan holistik Latihan teknikal sahaja tidak mencukupi.
Kakitangan perlu memahami bahawa pensijilan MFAR bukan semata-mata prosedur, tetapi falsafah hospitaliti Islam yang sebenar.
ITC terutamanya menyediakan pelbagai program latihan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) yang dapat meningkatkan kefahaman pemain industri berkaitan konsep mesra Muslim yang sebenar.
3 – Penyelarasan antara agensi Kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri dan ITC perlu diperkukuhkan untuk memudahkan pematuhan pensijilan dan mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha hotel dan pelanggan.

4 – Pelaburan infrastruktur sistematik Kemudahan solat berkualiti, pengasingan dapur berstatus halal yang disahkan Jakim dan penunjuk arah kiblat yang tepat merupalan keperluan asas, bukan pilihan tambahan.
Langkah-langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan efektif memandangkan kita kini berada dalam Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran 35.6 juta pelancong dengan pendapatan RM147.1 bilion.
***Penulis AKMAL HASIF MOHAMAD SUKRI merupakan Pengkaji Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan ZULAIPA RUZULAN ialah Pensyarah ACIS, UiTM Shah Alam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
