Bolehkah menggantung gambar konvokesyen, keluarga di dalam rumah?

Soalan
Bolehkah saya menggantungkan gambar konvokesyen atau gambar bersama keluarga di dalam rumah?
Jawapan
Berkaitan hukum gantung gambar fotografi, konvokesyen dan gambar keluarga, ia sering dikaitkan dengan larangan melukis gambar makhluk bernyawa.
Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling teruk dan dahsyat azabnya daripada ALLAH SWT ialah orang-orang yang melukis gambar.” (Hadis Riwayat Muslim)
Gambar fotografi, konvokesyen dan ahli keluarga sering dikaitkan dengan larangan melukis atau lukisan yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini.
Para ulama ketika membahaskan perkara ini terdapat beberapa pandangan terutamanya yang berkaitan jika gambar itu merupakan gambar yang bernyawa, sebahagian ulama mengatakan ia haram dan sebahagian ulama mengatakan ia tidak haram asalkan tidak ada unsur syirik dan mengagungkannya.
Adapun sekiranya gambar yang tidak bernyawa seperti bukit, pokok dan seumpamanya, majoriti ulama mengharuskan.
Gambar fotografi pada hari ini yang kita tangkap menggunakan telefon, kamera digital atau seumpamanya, ia adalah sebagai kenangan dan perhiasan di rumah, namun ia tidak termasuk dalam apa yang dilarang dalam hadis ini.
Asalkan kita menjaga syarat yang disebutkan oleh para ulama iaitu tidak ada unsur mengagungkan, unsur syirik dan juga penyembahan padanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


