Sebar luas kefahaman tentang sertu

19 mahasiswa UiTM Shah Alam anjur Sertu For Ummah, dalami teori dan praktikal 7 kali basuhan termasuk air tanah

SERTU barangan industri sedikit berbeza dengan kaedah sertu yang biasa diamalkan masyarakat.
SERTU barangan industri sedikit berbeza dengan kaedah sertu yang biasa diamalkan masyarakat.
A
A
A

SUATU ketika dahulu, istilah samak sering difahami sebagai kaedah penyucian untuk najis berat (mughallazoh) walaupun hakikatnya samak merupakan proses untuk pembersihan kulit haiwan.

Istilah sebenar untuk menyucikan sesuatu yang terkena najis berat seperti anjing dan babi ialah sertu dan kini masyarakat mulai menggunakan istilah yang tepat untuk urusan itu.

Bagaimanapun, masih ada segelintir umat Islam yang tidak mengetahui kaedah untuk melaksanakan sertu dan hanya mengetahui teorinya secara asas semata-mata.

Oleh sebab itu, sekumpulan 19 mahasiswa Jabatan Pengurusan Industri Halal di bawah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam bersepakat untuk mengadakan program Sertu For Ummah di Masjid Al-Munawwarah, Alam Megah, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Pengarah Sertu For Ummah, Muhamad Aizat Saufi Shukri, program pendidikan tersebut dianjurkan bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada komuniti berkenaan konsep, kepentingan dan kaedah sertu menurut ajaran Islam.

“Ramai yang hanya tahu mengenai teori sertu iaitu tujuh kali basuhan termasuk satu kali basuhan menggunakan air campuran tanah, namun tidak pernah melakukannya.

“Jadi kami seramai 19 mahasiswa bersepakat untuk menganjurkan program ini bagi memberi pendedahan lebih mendalam selain melakukan praktikal sertu.

MUHAMAD AIZAT SAUFI
MUHAMAD AIZAT SAUFI

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah peserta bukan sahaja daripada kalangan pemain industri halal, ia juga turut disertai masyarakat awam,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Shah Alam.

Teori dan praktikal

Menurutnya, program dibahagikan kepada dua slot iaitu berkaitan dengan teori sertu yang disampaikan Pengarah UNITI Halal Centre (Uhac), Ustaz Muhamad Elyas Harun yang berpengalaman selama 18 tahun dalam industri halal.

“Dalam ceramahnya, beliau mendedahkan, praktikal sertu dalam industri halal sedikit berbeza berbanding kaedah yang biasa digunakan memandangkan ada sebahagian kelengkapan di dalam restoran atau kilang yang sensitif terhadap air.

“Pada slot kedua, 29 peserta termasuk ahli jawatankuasa program ditunjukkan cara untuk sertu mengikut cara yang sepatutnya,” ujarnya.

Tambahnya, perbincangan turut menyentuh mengenai ciri-ciri barangan yang berasaskan babi selain isu-isu semasa yang berkaitan industri halal terutamanya mengenai sertu.

USTAZ MUHAMAD ELYAS (tengah) menunjukkan cara-cara sertu pelbagai barangan termasuk untuk kegunaan industri halal.
USTAZ MUHAMAD ELYAS (tengah) menunjukkan cara-cara sertu pelbagai barangan termasuk untuk kegunaan industri halal.

“Melalui pendekatan teori dan amali ini, peserta dapat memahami bahawa kaedah sertu bukan sekadar memenuhi tuntutan syarak, malah perlu dilaksanakan secara tepat agar kebersihan dan status halal sesuatu produk atau peralatan benar-benar terpelihara.

“Selain untuk kegunaan dalam sektor industri, ilmu yang dipelajari juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian seperti menyertu rumah yang baru disewa atau dibeli serta pelbagai barangan lain yang memerlukan proses penyucian menurut syarak,” jelasnya.

Ketika melakukan praktikal sertu, pihaknya menggunakan produk serbuk sertu buatan tempatan iaitu Sertu DIY bagi memudahkan masyarakat melaksanakan proses sertu sendiri.

Melihat kepada sambutan positif para peserta, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dalam skala yang lebih besar agar lebih ramai masyarakat memperoleh kefahaman sertu.

PARA peserta khusyuk mendengar ceramah berkaitan teori sertu yang disampaikan Ustaz Muhamad Elyas.
PARA peserta khusyuk mendengar ceramah berkaitan teori sertu yang disampaikan Ustaz Muhamad Elyas.

Ujarnya, usaha memperkasakan ilmu dan kefahaman masyarakat berkaitan sertu bukan sekadar memenuhi keperluan industri halal, tetapi juga membina masyarakat Islam yang lebih yakin serta mengamalkan tuntutan agama dengan betul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!