X

Kindly register in order to view this article
!

Bayar zakat fitrah lebih tinggi bagi yang mampu: ZPP

Amran
A
A

BUKIT MERTAJAM - Penetapan dua kadar zakat fitrah di Pulau Pinang pada tahun ini telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang selain telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali berkata, dua kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan dengan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.

Menurutnya, melebihkan bayaran zakat fitrah adalah sunat dan afdal (lebih baik) yang akan dikurniakan ganjaran berlipat kali ganda apatah lagi pada bulan Ramadan yang dijanjikan kerahmatan dan keberkatan.

"Amalan ini juga merupakan satu peluang untuk mencantikkan amalan wajib selain sedekah sunat yang turut dilaksanakan.

"Tambahan pula, kefardhuan pembayaran zakat fitrah di kala ini bertindak sebagai jambatan keharmonian yang menghubung sesama Muslim melalui ukhuwah keimanan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda di sini hari ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua kadar bayaran zakat fitrah ditetapkan di Pulau Pinang iaitu RM 7 dan RM16 seorang bagi tahun 2020.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Zakat fitrah Pulau Pinang RM7, RM16

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amran berkata, penetapan kadar harga zakat fitrah ini ditentukan berdasarkan harga beras semasa di dalam negeri Pulau Pinang iaitu bersamaan dengan 2.6 Kilogram (satu Gantang Baghdad) dan kaedah pengiraan adalah mengikut harga beras yang biasanya digunakan oleh kebanyakan pengguna di Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, bagi yang kemampuan ekonominya terbatas disebabkan situasi Covid-19 ketika ini, mereka boleh membayar zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga.

"Jika ketua keluarga mempunyai tanggungan yang ramai tetapi keadaan ekonomi keluarga semasa menyukarkan beliau untuk membayar zakat fitrah kepada semua tanggungannya, maka tunaikanlah zakat fitrah mengikut kemampuan bilangan tanggungan yang boleh dibayar.

"Bayarlah zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga kerana pembayaran zakat bukan untuk membebankan, tetapi untuk menjadikan diri kita melaksanakan tuntutan agama agar kita sentiasa berada dalam naungan kerahmatan ALLAH," katanya.

*Info dua kadar zakat fitrah Pulau Pinang 2020*

Dua kadar fitrah yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i. RM 7.00 – Beras Super Spesial Tempatan (5% hancur), Super Special Tempatan (10% hancur), Beras Tempatan Standard, Beras Tempatan Premium dan lain-lain jenis yang setara dengannya.

ii. RM 16.00 – Beras Basmathi, Beras Wangi dan lain-lain jenis yang setara dengannya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!