Polis Pulau Pinang nafi lengah kelulusan permit perarakan

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menafikan tuduhan kononnya sengaja melengahkan proses kelulusan permit perarakan keagamaan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) seperti didakwa salah seorang Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis telah memberi kelulusan bersyarat kepada pemohon bagi upacara perarakan pedati oleh penganut agama Hindu di daerah tersebut.

"Tuduhan pihak polis sengaja melengahkan kelulusan permit adalah tidak benar, sebaliknya permit itu diluluskan dengan bersyarat kerana pihak polis mengambil pertimbangan daripada maklum balas masyarakat setempat berkaitan dengan sensitiviti, keselamatan peserta perarakan dan kegusaran mereka sebelum ini.

"Tujuan permit dikeluarkan bersyarat bagi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah SPS, Superintenden Lee Chong Chern membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, David Marshel yang merupakan Ahli MBSP selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

David memuatnaik kenyataan berbaur fitnah dengan mendakwa Ketua Polis Daerah SPS enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu.

Antara kandungan yang dinyatakan menyebut beberapa permohonan kuil ditolak atas sebab tidak munasabah sekali gus menidakkan hak penganut agama Hindu yang mahu mengadakan upacara keagamaan.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut menafikan bahawa polis di Ibu Pejabat Daerah SPS menuai kebencian terhadap kerajaan dan berniat menggagalkan kerajaan yang memerintah sekarang.

"Saya tegaskan di sini, Polis Pulau Pinang tidak tidak pernah membelakangi apa-apa berkaitan polisi kerajaan malah semua permohonan permit keagamaan yang dipohon kepada kami juga tidak pernah ditolak. Cuma terdapat kelulusan permit yang diluluskan bersyarat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Siasatan adalah secara menyeluruh berkaitan dengan fitnah yang telah dikeluarkan terhadap pihak polis dan juga prosedur-prosedur pengeluaran permit yang ditetapkan," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, polis belum merekodkan keterangan daripada penulis Facebook tersebut.

"Siasatan masih dijalankan, kita dalam tindakan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, sekiranya berlaku apa-apa kekurangan, tindakan tatatertib akan dibuat.

"Kes akan dirujuk kepada pendakwaraya apabila kertas siasatan telah selesai," katanya.