Aliza akui sedia surat projek Jana Wibawa untuk lima syarikat

Muhyiddin hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Bernama
Muhyiddin hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengarah dan Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa beliau menyediakan surat permohonan melaksanakan projek bagi lima syarikat, berhubung projek di bawah Program Jana Wibawa.

Aliza Abd Malek, 47, berkata, walaupun beliau bertindak sebagai pengarah syarikat, namun ahli perniagaan, Lian Tian Chuan yang juga dikenali sebagai TC Lian, menyuruhnya membuat surat berkenaan bagi Nepturis dan empat syarikat lain.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, empat syarikat berkenaan ialah Permata Rebana Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, JM Letrik Sdn Bhd dan MZ Hakujaya Sdn Bhd.

Katanya, ia membabitkan projek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor dan Projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur pada Februari dan Mac 2021.

Beliau berkata, surat-surat berkenaan ditujukan kepada Muhyiddin, sebelum dokumen yang telah siap diserahkan kepada seorang lagi pengarah Nepturis, Mohd Rizman Akum Khan untuk ditandatangani.

“Semua surat itu ditujukan kepada Perdana Menteri ketika itu dengan tajuk ‘Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor Memohon Untuk Melaksanakan Projek Secara Tender Pra Kelayakan’, masing-masing bertarikh antara 29 Januari hingga 1 Februari 2021.

“Selepas surat berkenaan disediakan, dokumen itu diserahkan kepada Tian Chuan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, saksi ini tidak mengetahui kepada siapa surat berkenaan kemudiannya diserahkan bagi dipanjangkan kepada Perdana Menteri kerana perkara tersebut diuruskan oleh Tian Chuan.

Artikel Berkaitan:

Aliza berkata, pada tahun 2018, Tian Chuan memintanya dan Rizman mengambil alih Nepturis milik ahli perniagaan itu.

“Saya dan Rizman telah dilantik sebagai pengarah syarikat dan pemegang saham masing-masing sebanyak 50 peratus.

“Walaupun nama Tian Chuan tiada dalam Nepturis tetapi kami tahu bahawa ahli perniagaan itu mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam Nepturis,” katanya.

Menjawab soalan peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, saksi itu berkata, urusan deklarasi berhubung pegangan saham syarikat tersebut, tidak dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Peguam: Dalam SSM, puan isytihar pegangan saham ialah sebanyak 50 peratus sementara Rizman 50 peratus, tetapi hakikatnya pegangan saham syarikat dipecahkan kepada tiga nama termasuk Tian Chuan.

Aliza: Ya.

Peguam: Saya cadangkan, Tian Chuan tidak mahu Kerajaan dan pihak lain tahu bahawa, beliau mempunyai kepentingan dalam Nepturis.

Aliza: (tidak menjawab).

Hakim: Adakah puan tahu niat Tian Chuan berhubung perkara itu?

Aliza: Saya sudah lama bekerja dengan Tian Chuan, dia mahu saya maju setapak, sebab itu dia serahkan syarikat ini kepada saya dan Rizman bagi projek-projek Kerajaan.

Saksi ini berkata, ahli perniagaan itu masih mempunyai kepentingan dalam Nepturis malah Tian Chuan lebih banyak mencari projek luar.

Aliza berkata, ketika diserahkan pegangan saham, beliau tidak membayar walau satu sen kepada Tian Chuan, sebaliknya diberi kepercayaan untuk menerajui syarikat sebagai pengarah bersama Rizman.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan, Nepturis telah memperolehi projek membina IPD itu dengan kos kontrak berjumlah lebih kurang RM141 juta.

Aliza berkata, hanya mengetahui projek tersebut berkaitan program Jana Wibawa selepas menerima e-mel daripada Kementerian Kewangan Malaysia pada 26 Mac 2021 berkenaan Penilai Jana Wibawa - Penilaian Pra-Kelayakan.

Beberapa bulan kemudian, beliau memberitahu Rizman bahawa Nepturis telah melepasi penilaian pra-kelayakan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.

Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Jumaat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!