Minit Muhyiddin adalah arahan perlu dipertimbangkan, ambil tindakan - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa setiap minit catatan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Program Jana Wibawa adalah arahan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.
Tengku Zafrul, 53, berkata, berdasarkan pengalaman beliau sebagai Menteri Kewangan, minit Perdana Menteri adalah arahan yang perlu dipertimbangkan namun ia bukan arahan untuk meluluskan sesuatu projek.
ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul tidak tahu syarikat Jana Wibawa sumbang dana kepada Bersatu
Tengku Zafrul cadang projek dipercepat melalui Jana Wibawa
Tengku Zafrul tidak tahu asal usul 54 syarikat Jana Wibawa dicadang Muhyiddin
"Kebiasaannya, minit daripada Perdana Menteri ialah suatu arahan yang perlu kami ambil tindakan, jika tidak pentadbiran kerajaan tidak akan dapat berfungsi, bukan?
"Namun, mengambil tindakan tidak bermaksud kita perlu melakukan sesuatu yang tidak betul,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-11 itu berkata, setiap minit dan surat yang datang daripada Muhyiddin akan dipertimbangkan secara serius.
Sebelum ini, beliau dalam pernyataan saksi memaklumkan terdapat catatan minit Muhyiddin dalam surat sokongan bagi lima syarikat berhubung Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor dan syarikat terbabit ialah MZ Hakujaya Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd serta JM Letrik Sdn Bhd.
Tengku Zafrul juga berkata, sekiranya Perdana Menteri telah memberikan minit yang menyatakan perkara itu tidak perlu dipertimbangkan maka beliau tidak akan membuat sebarang pertimbangan lanjut.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Kanan Tengku Zafrul, Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud, 52, dalam pernyataan saksi memaklumkan terdapat memo yang dikeluarkan oleh Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan (SPBK) berkaitan cadangan pelantikan 54 kontraktor berhubung projek Jana Wibawa.
Beliau berkata, tujuan memo itu dibuat ialah sebagai surat iringan berkenaan dengan surat daripada Perdana Menteri kepada Menteri Kewangan bertarikh 13 November 2020.
"Dokumen ini merupakan memo yang dikeluarkan oleh saya kepada Datuk Zamzuri Abdul Aziz SBPK berkenaan Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Janawibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)," kata saksi pendakwaan ke-12 itu.
Bagaimanapun, Wan Murtadza berkata, beliau tidak pasti bagaimana pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat juga telah diputuskan oleh PMO sendiri.
"Saya juga sahkan syarikat-syarikat di dalam dokumen ini juga disenaraikan oleh PMO dan bukannya daripada Kementerian Kewangan," katanya.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
