Tengku Zafrul cadang projek dipercepat melalui Jana Wibawa

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa beliau menandatangani surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencadangkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dipercepatkan.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata, surat bertajuk ‘Cadangan Mempercepatkan Pelaksanaan Projek Melalui Pengenalan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Sebagai Program Khas Untuk Pembangunan Bumiputera’ bertarikh 23 Julai 2020 dihantar kepada Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.
Katanya, ia bagi mendapatkan persetujuan terhadap pelaksanaan program khas pembangunan Bumiputera berkenaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berusia 53 tahun itu berkata, surat berkenaan mencadangkan projek-projek tertentu dapat dipercepatkan selain memperkukuh penglibatan bumiputera dalam industri pembinaan.
“Saya sahkan dirujuk kepada surat ini, ia ditandatangani oleh saya ketika itu selaku Menteri Kewangan.
“Surat ini untuk dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri bagi mencadangkan mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pengenalan itu,” katanya dalam pernyataan saksi.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

