Durian murah, rakyat senyum sampai ke telinga

NAMPAKNYA musim durian kali ini benar-benar membuatkan ramai tersenyum lebar.
Ke mana sahaja Merak Jalanan singgah, topik dibualkan tidak lain tidak bukan harga durian semakin mesra poket.
Kalau sebelum ini bila dengar nama musang king atau black thorn, ramai terus pegang dada tengok harga, kali ini ceritanya berbeza.
Ada yang pulang dari gerai durian dengan senyuman puas kerana dapat merasai varieti premium yang selama ini hanya mampu dipandang dari jauh.
Mana tidaknya, sebelum ini ada menganggap harga sesetengah durian premium sudah seperti barang mewah.
Bila tiba musim durian, yang teringin cuma mampu melihat gambar di media sosial, manakala yang benar-benar mahu merasa terpaksa mengeluarkan belanja besar.
Kini keadaan berubah, gerai-gerai durian kembali meriah. Orang ramai tidak lagi sekadar bertanya harga, malah terus memilih dan menikmati durian di situ juga.
Peniaga pun nampaknya lebih gembira apabila jualan bertambah.
Apa yang Merak Jalanan dengar, kebanyakan rakyat berharap keadaan ini berterusan.
Biarlah harga durian kekal paras berpatutan supaya semua golongan dapat menikmati raja buah tanpa rasa terbeban.
Bukan bermaksud pekebun tidak perlu mendapat keuntungan, tetapi biarlah ada keseimbangan menguntungkan semua pihak.
Pekebun senang, peniaga untung dan pengguna pula dapat membeli pada harga munasabah.
Hakikatnya, tentu ramai mahu melihat lebih ramai dapat menikmati musang king, black thorn dan varieti lain tanpa perlu berfikir dua kali ketika menghulurkan wang.
Kalau boleh, janganlah harga kembali melambung seperti lalu.
Biarlah musim durian menjadi musim ditunggu-tunggu kerana keenakannya, bukannya kerana kejutan pada tanda harga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
