Durian premium MARDI terus jadi pilihan

KUALA KANGSAR - Tiga varieti durian premium keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) iaitu MARDI Super 88 (MS88), MDUR78 dan MDUR79 terus menjadi pilihan utama penggemar tempatan sejak diperkenalkan pada awal tahun 2000.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga varieti tersebut bukan sahaja mempunyai kualiti rasa yang tinggi, malah menunjukkan prestasi baik dari segi pengeluaran serta kesesuaian penanaman dalam kalangan petani tempatan.
“Ketiga-tiga varieti ini merupakan antara baka terbaik yang dihasilkan MARDI dan terus mendapat sambutan baik sehingga hari ini.
“Paling popular ialah MS88 atau nama lamanya MDUR88. Kita juga mempunyai MDUR78 dan MDUR79 yang turut dikategorikan sebagai durian premium hasil penyelidikan MARDI,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama Media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar di sini pada Ahad.
Mohamad Zabawi berkata, usaha memperluaskan penanaman durian hibrid tersebut terus dipergiatkan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

Katanya, sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga kini, kira-kira 25,000 pokok durian MS88 telah ditanam di seluruh negara melibatkan keluasan hampir 242 hektar, dengan sebahagian besarnya di Melaka, Selangor dan Pantai Timur.
“Peningkatan kawasan penanaman ini mampu menyumbang kepada pengeluaran durian yang lebih tinggi pada masa hadapan, sekali gus membuka potensi ke arah pasaran eksport,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan MARDI kini berada di peringkat penilaian akhir untuk memperkenalkan beberapa varieti durian hibrid baharu.
“Setakat ini kita mempunyai kira-kira tiga varieti baharu dalam peringkat penilaian. Kita mahu memastikan pengeluaran mencukupi dan sesuai sebelum ia dilancarkan secara rasmi ke pasaran,” katanya.
Mengulas mengenai musim durian tahun ini, beliau berkata, pengeluaran di beberapa stesen MARDI termasuk di Kuala Kangsar, Jerangau, Sintok dan Jelebu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, keadaan itu didorong cuaca panas yang merangsang proses pembungaan pada awal musim, diikuti hujan yang membantu pembentukan buah.
“Di MARDI, kita telah membangunkan teknologi kriogenik bagi membantu memanjangkan jangka hayat buah sehingga tempoh antara tiga hingga enam bulan tanpa menjejaskan rasa asal.
“Teknologi ini telah digunakan di peringkat MARDI termasuk bagi durian dan nangka, namun penggunaannya masih terhad dan belum diperluaskan kepada orang awam.
“Bagaimanapun, pihak industri atau syarikat berpotensi memanfaatkan teknologi ini untuk tujuan penyimpanan dan eksport,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

