[VIDEO] Op DAK: Dakwaan rasuah RM53 juta bekas menteri tidak berasas

A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati dakwaan kononnya seorang bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menerima rasuah RM53 juta dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah, Amoi, Dara dan kelat (DAK) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun tidak mempunyai asas selepas siasatan tidak menemukan sebarang aliran wang yang mengaitkannya.

Abdul Halim Aman. Foto Rosli Talib
Abdul Halim Aman. Foto Rosli Talib

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan yang dijalankan setakat ini juga tidak mengesan sebarang aliran tunai atau pembayaran kepada bekas menteri berkenaan mahupun mana-mana syarikat yang mencurigakan.

"Siasatan menunjukkan dan mendapati bahawa tiada wujud aliran wang ataupun aliran tunai pembayaran kepada menteri atau kepada mana-mana syarikat yang mencurigakan.

"Hasil siasatan pihak kami setakat ini menunjukkan perkara yang dibangkitkan itu, berkenaan rasuah RM53 juta itu setakat ini tidak mempunyai asas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Menurutnya, semakan terhadap Cash Transaction Report (CTR) dan Suspicious Transaction Report (STR) melibatkan syarikat yang dilantik di Malaysia serta pemilik syarikat berkenaan juga tidak menemukan sebarang transaksi mencurigakan yang boleh mencetuskan siasatan lanjut.

"Semakan CTR dan STR mendapati tidak wujud apa-apa transaksi yang mencurigakan yang boleh mencetuskan penyiasatan dan tidak ada perkara yang signifikan dalam tempoh proses berkenaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, semakan CTR dan STR terhadap empat suspek yang dikenal pasti dalam siasatan menemukan beberapa transaksi yang masih memerlukan penelitian lanjut melalui analisis kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Yang empat suspek itu masih lagi dalam siasatan kerana didapati terdapat beberapa transaksi yang perlu diklarifikasikan melalui money trail, akaun bank dan sebagainya," ujar Abdul Halim.

Beliau berkata, siasatan kes berkenaan kini berada di peringkat akhir dan pegawai penyiasat diberikan tempoh sebulan untuk melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan penjelasan daripada institusi perbankan berkaitan transaksi yang dikenal pasti.

"Hampir tiga perempat siasatan telah selesai. Apabila semua perkara itu diselesaikan dan dipastikan, kita akan membuat keputusan sama ada untuk mendakwa atau menutup kes.

"Harapan saya, dengan penjelasan daripada pihak berkaitan, khususnya institusi perbankan, perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Halim memaklumkan, setakat ini seramai 19 saksi dan empat suspek telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji adalah sebahagian daripada pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua zoo berkenaan.

Hasil siasatan turut mendapati kos pemindahan gajah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Zoo Tennoji, Osaka melalui syarikat yang dilantik, bukannya kerajaan Malaysia.

"Zoo Tennoji telah membayar kepada syarikat yang dilantik sebanyak AS$1.48 juta, bersamaan kira-kira RM6.39 juta bagi menguruskan proses pemindahan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tempoh pinjaman tiga ekor gajah selama 25 tahun kepada zoo berkenaan adalah munasabah selepas mengambil kira tempoh bunting gajah yang mencecah dua tahun serta anggaran maksimum enam kelahiran sepanjang tempoh itu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, penempatan sementara gajah-gajah berkenaan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah sebelum diterbangkan ke Jepun adalah bagi menjalani latihan kurungan (crate training) sebagai persediaan untuk penerbangan dan bukan sesuatu yang luar biasa.

Terdahulu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah ke Zoo Tennoji, Osaka yang berlaku antara 2021 hingga 2022.

Empat individu dikenal pasti dalam siasatan, terdiri daripada seorang bekas penjawat awam, seorang penjawat awam yang masih berkhidmat serta dua pemilik syarikat.

Terdahulu, Nik Nazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa menafikan sebarang pembabitan dalam amalan rasuah yang didakwa berkaitan pemindahan tiga gajah berkenaan sambil menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas, sekali gus mengalu-alukan sebrang siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!