Lima individu termasuk empat penjawat awam ditahan, disyaki rasuah RM25,000

KANGAR - Lima individu termasuk empat penjawat awam sebuah institusi pendidikan pra-universiti awam di Perlis direman empat hari bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000.
Kesemua suspek dipercayai menerima wang suapan sebagai balasan membantu sebuah syarikat pembinaan, pembekalan makanan dan perkhidmatan penyelenggaraan mendapatkan beberapa kerja perolehan kerajaan di institusi berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000.
Perintah reman selama empat hari sehingga 10 Julai terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar pada Rabu.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40-an, ditahan antara jam 2 petang hingga 4 petang pada Selasa ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Perlis.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.
“Keempat-empat suspek yang merupakan penjawat awam dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat bernilai antara kira-kira RM2,000 hingga RM10,000 bagi setiap projek dengan keseluruhan projek yang diperolehi adalah sebanyak 16,” katanya pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“SPRM tekad menoktahkan budaya salah guna kuasa dan secara tidak langsung melumpuhkan kartel penganugerahan kerja-kerja kepada syarikat kontraktor yang monopoli di institusi pendidikan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

