SPRM disaran segerakan siasatan dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum

R Jeyenderan
R Jeyenderan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyegerakan siasatan berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor yang didakwa melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit serta berpotensi menjejaskan hasil kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, beliau berharap siasatan dapat diselesaikan segera memandangkan isu berkenaan turut mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara.

Menurutnya, laporan berhubung dakwaan percanggahan antara bil muatan (BL) dan pergerakan fizikal kargo petroleum itu telah dibuat kepada SPRM pada 5 Jun lalu.

"Saya telah ke Ibu Pejabat SPRM untuk mendapatkan perkembangan aduan saya kerana perkara ini melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit dan mempunyai implikasi besar.

"Saya sudah bercakap dengan pegawai penyiasat dan diberi jaminan bahawa siasatan masih berjalan serta memerlukan sedikit masa lagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jeyenderan berkata, beliau bimbang risiko yang lebih besar akan timbul sekiranya pergerakan sebenar kargo tidak lagi sepadan dengan dokumen rasmi.

Katanya, ejen perkapalan mungkin bukan pemilik kargo atau pihak yang menerima manfaat daripada transaksi, namun mereka tetap berdepan risiko kerana pihak berkuasa terminal serta rakan niaga bergantung kepada arahan dan pengisytiharan yang diproses melalui ejen terbabit.

Beliau berkata, isu itu menjadi lebih rumit dalam urus niaga minyak apabila ejen perkapalan menerima arahan berbeza daripada pedagang, penerima, terminal, ejen penghantaran dan penyedia logistik yang tidak selari dengan bil muatan asal.

"Amalan mencampur minyak selepas kargo dipunggah bukan sesuatu yang luar biasa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, rekod Kastam, bil muatan, bacaan tangki dan kedudukan sebenar kargo perlu sentiasa selari bagi mengelakkan masalah pematuhan, pertikaian komersial serta ketirisan hasil kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa dakwaan ketidakpadanan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat disiasat secara menyeluruh kerana berpotensi menjejaskan kutipan hasil negara serta integriti sistem perdagangan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sekiranya dakwaan itu mempunyai asas, ia boleh membuka ruang kepada penipuan perdagangan, manipulasi dokumentasi, pengelakan cukai dan duti serta penyeludupan produk petroleum.

Beliau turut menegaskan SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap perkara itu sekiranya terdapat elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!