'Suara Gaza' bergema di Piala Dunia

GENTING GAZA - Di sebalik perang ganas yang masih berterusan, 'demam Piala Dunia' tetap melanda Genting Gaza.
Sejak Piala Dunia membuka tirai pada bulan lalu, penduduk Palestin di wilayah itu tidak melepaskan peluang untuk menonton setiap perlawanan.
Laporan dan rakaman video menunjukkan orang ramai berkumpul di pusat perlindungan dan khemah untuk menyaksikan aksi bintang-bintang bola sepak dunia menerusi skrin sederhana yang dipasang di tengah-tengah runtuhan.
Pasukan-pasukan Arab mendapat perhatian istimewa peminat bola sepak di Gaza terutamanya skuad kebangsaan Mesir. Setiap perlawanan mereka menjadi tumpuan utama dengan sorakan bergema setiap kali pasukan itu beraksi.
Kumpulan penyokong termasuk kanak-kanak mengikuti setiap detik sehingga wisel penamat ditiup. Kemenangan tersebut membawa kegembiraan yang jarang dirasai untuk mereka melupakan seketika penderitaan akibat perang.
Sorakan riang bergema ketika The Pharaohs mencipta sejarah dengan menewaskan Australia dan mara ke pusingan 16 terbaik.
Media turut merakam detik-detik tersebut apabila bendera kebangsaan Mesir dikibarkan dan sorakan bergema di seluruh kawasan perlindungan sementara tersebut. Keadaan itu menyerlahkan hubungan erat antara skuad itu dan penyokong Palestin.
Ketika Gaza meraikan kemenangan itu, satu mesej yang kuat turut disampaikan dari stadium di Dallas, Amerika Syarikat (AS). Selepas tamat perlawanan, ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan membawa bendera Palestin di atas padang di hadapan kamera media antarabangsa sebagai tanda sokongan kepada mereka.
Menerusi kenyataan selepas perlawanan, Hassan dengan bangga mendedikasikan kemenangan bersejarah itu kepada penduduk Palestin.
Beliau memaklumkan jiwa dan raganya sentiasa bersama mereka dan kegembiraan tersebut juga adalah milik saudara seluruh Arab.

Agensi berita antarabangsa turut menampilkan detik berkenaan sebagai antara sorotan utama kejohanan.
Imej Hassan mengibarkan bendera Palestin menjadi sebahagian daripada naratif global yang menyuarakan kebimbangan tentang penderitaan rakyat Gaza semakin dipinggirkan daripada perhatian dunia.
Mesej solidariti
Sokongan terhadap Palestin sudah lama wujud dalam bola sepak Mesir. Pada 2008, Mohamed Aboutrika menjadi tumpuan dunia apabila memakai jersi yang tertera In Sympathy with Gaza.
Sejak itu, beberapa detik penting dalam bola sepak Mesir sering dikaitkan dengan solidariti terhadap Palestin.
Sepanjang Piala Dunia berlangsung, bendera Palestin tidak pernah lekang daripada menghiasi tempat duduk penonton.
Penyokong dari Bosnia dan Portugal berganding bersama peminat dari Mesir, Maghribi serta Algeria mengibarkan bendera itu sebagai lambang perpaduan.
Pemandangan itu mencerminkan sokongan berterusan terhadap perjuangan Palestin di pentas bola sepak terbesar dunia.
Mesej solidariti itu hadir ketika arena sukan Palestin berdepan kemusnahan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sesetengah pihak melihat Piala Dunia sebagai platform untuk mengingatkan dunia tentang situasi di Gaza di samping meraikan semangat bola sepak.

Bagi penduduk Palestin, bola sepak tidak pernah lenyap meskipun sukan itu kini dilihat dari sudut yang jauh berbeza akibat keadaan semasa.
“Sudah tentu kami masih mengikuti Piala Dunia. Hari ini, kami menonton Piala Dunia sambil memikirkan hari esok bagaimana untuk mendapatkan makanan panas diagihkan dapur amal dan mencari sumber air bersih.
"Suasana Piala Dunia 2026 sudah tidak sama seperti 2022,” kata Bilal Hamdan dalam nada hiba. - Agensi
Info: >Menurut Jawatankuasa Olimpik Palestin, sebanyak 184 daripada 265 kemudahan sukan di Gaza telah binasa sepenuhnya. Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa lebih 1,000 atlet, jurulatih dan pekerja sukan Palestin terkorban sejak kempen pencerobohan dilancarkan Israel pada Oktober 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

