Pemain Mesir tuduh Piala Dunia sudah diatur

Pemain Mesir mempertikaikan keputusan pengadil membenarkan gol ketiga Argentina kerana berlaku kekasaran terhadap Mohamed Salah sebelum gol tersebut dijaringkan. Foto Agensi
Pemain Mesir mempertikaikan keputusan pengadil membenarkan gol ketiga Argentina kerana berlaku kekasaran terhadap Mohamed Salah sebelum gol tersebut dijaringkan. Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN Mesir mencipta kejutan ke atas Argentina berakhir dengan kontroversi apabila penyerang Mostafa Zico mendakwa keputusan pengadil menjadi punca pasukannya tersingkir selepas tewas 3-2 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Atlanta.

Zico meluahkan kekecewaan terhadap pengadil Perancis, Francois Letexier selepas golnya yang memberikan Mesir kelebihan 2-0 dibatalkan menerusi semakan video bantuan pengadil (VAR).

Gol itu terhasil selepas Mohamed Salah mencipta hantaran tepat kepada Zico yang tenang menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Namun, jaringan tersebut dibatalkan selepas VAR mengesan kekasaran Marwan Attia terhadap Lisandro Martinez dalam gerakan awal serangan.

Keputusan itu dipersoalkan kem Mesir kerana insiden berkenaan berlaku lebih 20 saat sebelum bola menerjah gawang Argentina.

Lebih menyakitkan, Mesir yang mendahului 2-0 sehingga minit ke-80 akhirnya gagal mempertahankan kelebihan apabila Argentina bangkit menjaringkan tiga gol untuk memastikan juara bertahan itu mara.

"Pengadil benar-benar tidak adil. Ketidakadilan itu jelas berlaku. Kami melakukan tugas dengan baik sejak awal perlawanan.

"Kelebihan 2-0 tidak cukup untuk menewaskan Argentina. Jelas sekali kejohanan ini sudah diatur. Tetapi Tuhan cukup untuk kami," kata Zico.

Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan turut mempersoalkan keputusan pengadil termasuk kegagalan VAR menyemak insiden Mohamed Salah didakwa dikasari serta tarikan baju Alexis Mac Allister sebelum gol kemenangan Argentina.

Artikel Berkaitan:

"Kami lebih baik daripada juara bertahan dalam segala aspek, tetapi keputusan dipengaruhi faktor di dalam dan luar padang," kata Hassan.

Bagaimanapun, Argentina terus mara ke suku akhir hasil kebangkitan dramatik yang mengekalkan impian Lionel Messi dan pasukannya mempertahankan trofi Piala Dunia.

Argentina akan bertemu Switzerland yang mengatasi Colombia 4-3 menerusi penentuan penalti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!