Carrick hampir menitiskan air mata selepas United dibelasah

MICHAEL Carrick sukar menyembunyikan emosinya selepas Manchester United dibelasah 0-3 oleh Bournemouth di Old Trafford pada Ahad ketika tekanan terhadap kedudukannya sebagai pengendali semakin memuncak.
Pengendali berusia 45 tahun itu kelihatan sebak ketika ditanya mengenai sokongan penyokong selepas kekalahan yang menyaksikan United terus bergelut mencari kemenangan.
Carrick mengakui perasaan bercampur-baur menyelubunginya selepas melalui hari yang sukar ketika penyokong masih melaungkan namanya walaupun pasukan gagal memberikan persembahan yang diharapkan.
“Untuk berada dalam situasi yang sukar dan melalui hari seperti ini, serta tempoh yang kami lalui sekarang memang sukar untuk diterima. Jadi, memang ada pelbagai emosi yang bercampur-baur,” katanya.
Kekalahan itu menambah tekanan terhadap Carrick apabila United gagal menyaingi permainan Bournemouth yang menjaringkan gol menerusi Rayan pada minit ke-38, Marcus Tavernier (43) dan Evanilson (71).
Lebih meresahkan, penyokong tuan rumah mula meninggalkan stadium sebelum wisel penamat, manakala sorakan yang menyokong Carrick bertukar menjadi boo terhadap pemain selepas perlawanan.
Bagaimanapun, Carrick menafikan tindakannya menyambut penyokong selepas perlawanan sebagai tanda perpisahan.
“Tidak, bagi saya itu bukan perpisahan. Ia sekadar penghargaan kepada penyokong dan sokongan yang mereka tunjukkan,” katanya.
Ditanya mengenai masa depannya, Carrick tidak memberikan jaminan akan terus mengendalikan pasukan dalam perlawanan seterusnya, sebaliknya berkata beliau akan meneruskan tugas seperti biasa.
“Saya faham sepenuhnya keadaan sekarang. Saya tidak menjangkakan apa-apa secara khusus. Saya akan meneruskan tugas seperti biasa dan saya menyayangi kelab ini,” katanya.
United kini mengumpul tujuh mata selepas lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di atas zon penyingkiran, sekali gus meletakkan masa depan Carrick dalam keadaan tidak menentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
