Premis dipecah masuk ketika PKP, pemilik rugi RM10,000

Tangkap layar daripada video tular mengenai keadaan sebuah kafe di Pusat Bandar Puchong yang dilapor dipecah masuk semalam.
Tangkap layar daripada video tular mengenai keadaan sebuah kafe di Pusat Bandar Puchong yang dilapor dipecah masuk semalam.
A
A
A

PUCHONG – Pengusaha sebuah kafe di Pusat Bandar Puchong di sini kerugian RM10,000 apabila premis miliknya dipecah masuk penjenayah dan kejadian disedari tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada jam 1.30 tengah hari daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik kafe.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, suspek dipercayai menembus masuk ke dalam kedai dengan memecahkan pintu roller shutter dan pintu kaca depan premis.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa botol arak dan sejumlah wang tunai didapati hilang, kerugian dianggarkan hampir RM10,000.

“Siasatan lanjut menemukan dua kesan jari. Bagaimanapun tiada kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit. Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video dengan kapsyen PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tidak menghalang penjenayah melakukan pecah masuk premis.

Video berdurasi 48 saat itu memaparkan keadaan sebuah kafe di Pusat Bandar Puchong yang dipecah masuk.

Artikel Berkaitan: