PRN Johor: Kehadiran Anwar bantu kempen dapat sambutan menggalakkan - Fahmi

JOHOR BAHRU - Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu kempen calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, dilihat mendapat sambutan luar biasa dan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau menyaksikan sendiri reaksi positif itu ketika mengiringi Perdana Menteri menghadiri dua program kempen di Senggarang dan Semerah dalam daerah Batu Pahat, baru-baru ini.
"Saya lihat reaksi masyarakat, malah ada juga reaksi spontan. Di Senggarang, ada seorang warga emas mengayuh beca sambil membawa isterinya semata-mata untuk bertemu dengan Perdana Menteri,” katanya.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH ditemui pemberita selepas melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena PRN Johor di sini pada Selasa.
Ketua Penerangan PKR itu berkata, sambutan berkenaan mencerminkan minat serta penerimaan masyarakat terhadap naratif kempen yang dibawa gabungan itu sepanjang tempoh PRN kali ini.
"Memang kita lihat ramai yang menunggu, menanti dan ingin bertemu. Kita percaya keadaan ini akan dapat diterjemahkan sama ada dari segi sokongan ataupun setidak-tidaknya minat terhadap apa yang sedang berlaku iaitu PRN,” katanya.
Pada Sabtu dan Ahad lepas, Perdana Menteri menghadiri 15 program di seluruh negeri bagi memperhebat kempen PH selain memberikan semangat serta dukungan kepada calon dan jentera parti.
Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara keseluruhan, sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi pada hari pengundian yang ditetapkan Sabtu ini manakala pengundian awal berlangsung hari ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
