PRN Johor: Pas sedia bantu bentuk kerajaan negeri demi kestabilan

Mahfodz berkata, kesediaan Pas untuk bekerjasama tidak sepatutnya disalahertikan sebagai tanda kelemahan atau usaha mendapatkan tempat dalam kerajaan.
Mahfodz berkata, kesediaan Pas untuk bekerjasama tidak sepatutnya disalahertikan sebagai tanda kelemahan atau usaha mendapatkan tempat dalam kerajaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pas Johor menyatakan kesediaannya membantu memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk sekiranya tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengutamakan kestabilan politik negeri berbanding kepentingan parti dan bukan bertujuan mendapatkan jawatan atau balasan politik.

Menurutnya, arahan kepada penyokong Pas supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Pas atau Perikatan Nasional dibuat atas pertimbangan lebih besar bagi memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus menerajui Johor.

"Pemimpin UMNO Johor tidak seharusnya bersikap angkuh dalam memberikan reaksi terhadap keikhlasan tersebut.

"Sekiranya BN tidak memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, Pas dan Perikatan Nasional bersedia mengambil sikap matang demi kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat serta kesinambungan kepimpinan Melayu-Islam di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesediaan Pas untuk bekerjasama tidak sepatutnya disalahertikan sebagai tanda kelemahan atau usaha mendapatkan tempat dalam kerajaan.

"Pas tidak meminta-minta untuk berada dalam kerajaan. Pendirian Pas jelas iaitu mendahulukan kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor mengatasi ego serta kepentingan sempit kepartian," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan semangat 'Jom Jaga Johor' yang dibawa parti itu sepanjang kempen PRN Johor.

Pada PRN Johor kali ini, Pas hanya bertanding di 11 kerusi termasuk mempertahankan Maharani yang merupakan satu-satunya DUN dimenangi selain mencuba lagi di empat kerusi sama iaitu Jementah, Simpang Jeram, Sri Medan serta Tiram.

Artikel Berkaitan:

Enam lagi kerusi ialah Tenang, Sungai Balang, Semerah, Endau, Pasir Raja dan Kahang.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!