'Bubar Parlimen, beri mandat baharu' - Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdepan desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal apabila tuntutan dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut disuarakan Pas.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun pembubaran Parlimen merupakan kuasa prerogatif seorang Perdana Menteri, namun langkah tersebut merupakan jalan terbaik menangani ketidakstabilan dalaman Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa, ketidakstabilan dalaman PH termasuk kekosongan beberapa jawatan dalam Kabinet menunjukkan kerajaan ketika ini berdepan masalah yang serius sehingga memerlukan mandat baharu daripada rakyat.
"Isu dalaman Kabinet itu sangat serius dan kerajaan tidak boleh membiarkan situasi gawat yang berlaku ini. Yang terbaik ialah bubar Parlimen dan beri mandat baharu," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri secara terbuka menyatakan pembubaran Parlimen merupakan langkah terbaik bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu selain berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.
Bagaimanapun Anwar dalam maklum balasnya menegaskan belum tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan rombakan Kabinet.
Penggal Parlimen ke-15 dijadualkan berakhir pada 19 Disember 2027, sekali gus menyaksikan Parlimen terbubar secara automatik sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Justeru, PRU16 perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 17 Februari 2028 sekiranya Parlimen ke-15 kekal sehingga tamat tempoh penggalnya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpandangan, PH tidak akan mengambil langkah membubarkan Parlimen lebih awal walaupun terus didesak kerana menyedari risiko kehilangan sokongan rakyat dalam pilihan raya.
Katanya, perkembangan politik di beberapa negeri termasuk Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan sokongan terhadap PH semakin merosot.

"Saya fikir mengenali Anwar dan situasi yang berlaku, kegagalan PH dapat sokongan rakyat sekarang ini bermula di Sabah, kemudian di Johor, kemudian di Negeri Sembilan dan mungkin juga di Melaka.
"Lepas ini mungkin juga berlaku di Sarawak. Saya fikir PH makin jatuh termasuk komponen terakhir dia dalam DAP. DAP jadi terakhir pun merosot, PKR dan Amanah pun sama," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu mungkin menyebabkan Anwar mengambil keputusan untuk terus mempertahankan kerajaan sehingga tamat penggal berbanding mengambil risiko mengadakan pilihan raya lebih awal.
"Isu pembubaran Parlimen tidak seharusnya dilihat dari sudut kepentingan peribadi atau parti politik semata-mata, sebaliknya kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

