PM umum inisiatif bantu kurangkan beban PMKS

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan beberapa ikhtiar tambahan bagi mengurangkan beban kos pematuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk memperkenalkan program pengakuan sukarela e-invois tanpa penalti sehingga 31 Disember 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi inisiatif itu, sebarang pembetulan, semakan atau kemas kini yang dikemukakan secara sukarela sepanjang tempoh berkenaan tidak akan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju mempercepatkan insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh setahun ke atas perbelanjaan yang layak berkaitan pelaksanaan e-invois.

“Ini satu keputusan besar kerana selalunya (lazimnya) tidak berlaku (diberi kelonggaran) sedemikian bagi (urusan) cukai pendapatan).

“Langkah ini dibuat bagi mengurangkan kos pematuhan perniagaan selain menggalakkan lebih ramai pembayar cukai mematuhi pelaksanaan e-invois,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timor) yang ingin mengetahui sama ada Kerajaan Madani maklum mengenai kegelisahan usahawan PMKS yang berdepan kesukaran mendapatkan dana bagi menyokong kelangsungan perniagaan.

Anwar berkata, kerajaan sememangnya menyedari cabaran dihadapi PMKS dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan akses pembiayaan, meringankan kos operasi serta memperkukuh daya saing sektor itu.

Menurutnya, kemudahan pinjaman dengan jaminan pembiayaan melebihi RM15 bilion disediakan bagi membantu keperluan modal kerja syarikat yang terkesan susulan krisis Asia Barat.

Beliau berkata, sejak Mei 2026, Kemudahan Bantuan Kestabilan Bank Negara Malaysia telah meluluskan hampir RM1 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 PMKS.

Artikel Berkaitan:

“Bagi separuh pertama tahun ini pula, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah meluluskan pembiayaan bernilai RM4.9 bilion yang memanfaatkan lebih 6,000 PMKS.

“Selain itu, pinjaman kredit mikro melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mencecah RM2.1 bilion yang memberi manfaat kepada kira-kira 195,000 usahawan mikro,” ujarnya.

Beliau berkata, daripada jumlah jaminan pembiayaan RM15 bilion itu, sebanyak RM5 bilion diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

Mengulas kepentingan sektor PMKS, Anwar berkata, perusahaan berkenaan menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menyediakan 48.7 peratus peluang pekerjaan atau melibatkan kira-kira 8.1 juta pekerja, selain menyumbang eksport bernilai RM196.8 bilion atau 14.3 peratus daripada jumlah eksport negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan kos operasi PMKS melalui penurunan kadar sewa premis perniagaan milik kerajaan.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan dengan mengurangkan kadar sewa sehingga 80 peratus, diikuti Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak 20 peratus bermula 1 Jun lalu, manakala beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang turut melaksanakan langkah sama.

Menyentuh bantuan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang menjalankan perniagaan kecil, Anwar berkata, kerajaan membenarkan tambahan kelayakan 100 liter di bawah program BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik pikap dan jip, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan kepada 300 liter.

“Sehingga 6 Julai lalu, seramai 200,000 warganegara telah diluluskan menerima tambahan 100 liter ini,” katanya.

Anwar turut menggalakkan PMKS mempercepat penggunaan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) dengan kerajaan menyediakan geran pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM5,000 bagi membantu perusahaan khususnya yang berskala kecil.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!