Malaysia cipta sejarah jadi tuan rumah Kongres IPA 2026

Kongres IPA 2026 diadakan di Malaysia buat julung kalinya dalam tempoh 130 tahun penganjuran.
Kongres IPA 2026 diadakan di Malaysia buat julung kalinya dalam tempoh 130 tahun penganjuran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menjadi tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa ke-35 2026 (Kongres IPA 2026) dalam tempoh 130 tahun penganjuran.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penting bagi industri penerbitan, harta intelek, pembangunan kandungan dan perdagangan hak penerbitan antarabangsa di Asia Tenggara.

Kongres itu dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bersama Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik.

Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah kongres tersebut mencerminkan kematangan, keupayaan dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin kukuh terhadap industri penerbitan negara.

"Kongres IPA 2026 bukan sekadar persidangan, ia merupakan perhimpunan paling berpengaruh di dunia bagi penerbit dan pemain industri penerbitan.

"Penganjuran kongres ini di Malaysia membuka peluang yang belum pernah ada sebelum ini untuk industri tempatan berinteraksi secara langsung dengan peneraju global, memperluaskan rangkaian antarabangsa, memperkukuh aktiviti perdagangan hak penerbitan serta mempromosikan kandungan Malaysia ke pasaran baharu di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ditubuhkan pada 1896 dan beribu pejabat di Geneva, Switzerland, IPA merupakan persekutuan penerbit terbesar di dunia yang mewakili persatuan penerbit dari lebih 80 negara dan kongres di bawah IPA dianjurkan setiap dua tahun sekali.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) turut menyokong penganjuran kongres berkenaan dengan menghimpunkan pelbagai pihak dalam ekosistem industri buku negara.

Tumpaun

Artikel Berkaitan:

Antara tumpuan utama Kongres IPA 2026 ialah penekanan terhadap program padanan perniagaan, perdagangan hak penerbitan dan kerjasama antarabangsa.

Sepanjang lima hari berlangsung dari 5 hingga 9 Julai, delegasi akan menyertai ucaptama, forum industri, perbincangan panel, sesi jaringan profesional serta mesyuarat perniagaan yang dirangka khusus bagi menggalakkan kerjasama merentasi rantaian nilai industri penerbitan.

Perbincangan meliputi pelbagai topik termasuk hak cipta, kecerdasan buatan, penerbitan digital, kelestarian, kebolehcapaian kandungan, penerbitan pendidikan, teknologi penerbitan dan masa depan pembangunan kandungan kreatif.

Selain rakan strategik utama, Kongres IPA 2026 turut disokong pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB); Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS); Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim); USIM Press dan Sunway University Press.

Turut sama menyokong ialah Publishers Without Borders; Bologna Children's Book Fair and Bologna BookPlus; Publishers Weekly; Publishing Perspectives; IBDE; British Council; KLIA Ekspres dan World Travel Ambassador.

Kongres itu juga menerima tajaan daripada Sharjah Book Authority, The London Book Fair, PTS Media Group, Pelangi Publishing, Sasbadi, Vivar Printing Sdn Bhd, BookXcess dan Canon.

Sheikh Faisal ketika menyampaikan ucaptama Kongres IPA 2026 pada Isnin.
Sheikh Faisal ketika menyampaikan ucaptama Kongres IPA 2026 pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Adibah Omar memaklumkan, kongres tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem industri buku sambil mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.

Katanya, kongres tersebut bukan sahaja menghimpunkan profesional industri penerbitan, malah turut menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan ekosistem penerbitan di peringkat global dan serantau.

"Melalui penyertaan pemimpin industri dari seluruh dunia, Malaysia mempunyai peluang unik untuk memudah cara kerjasama, perkongsian ilmu dan usaha pengantarabangsaan yang memberi manfaat buat penerbit, penulis, penterjemah, penjual buku dan pencipta kandungan," katanya.

Justeru jelasnya, Kota Buku komited menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi inovasi penerbitan, perdagangan hak cipta dan pertukaran kandungan.

"Melalui inisiatif seperti 'Asian Rights Fair', kami terus membuka peluang kepada penerbit tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama serta meneroka potensi komersial baharu," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!