Zakat Selangor sedia bantu keluarga pelajar cedera ditikam jika layak

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar perempuan yang cedera akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di Kuala Langat pada Isnin sekiranya siasatan mendapati mereka layak.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, bantuan akan dipertimbangkan sekiranya keluarga mangsa tergolong dalam mana-mana lapan golongan asnaf, khususnya fakir atau miskin, akibat insiden berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, setiap permohonan perlu melalui proses bancian dan pengesahan bagi memastikan penerima benar-benar layak.
"Kalau seseorang itu jatuh dalam kategori fakir atau miskin disebabkan sesuatu kes, memang menjadi tanggungjawab kita untuk membantu.
"Kita akan buat bancian terlebih dahulu. Jika sah mereka layak menerima zakat, kita akan salurkan bantuan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Majikan dan Ejen Kutipan Zakat Selangor di sini pada Selasa.
Mohd Khaidzir berkata, bantuan yang disediakan bukan sekadar bantuan kewangan bulanan, malah boleh merangkumi bantuan sewa rumah serta bantuan pemerkasaan ekonomi mengikut keperluan setiap keluarga.
Beliau berkata, pegawai Zakat Selangor juga sentiasa memantau kes yang tular di media sosial sebelum turun padang bagi mendapatkan maklumat sebenar.
"Kita tidak boleh terus percaya semua yang tular kerana ada juga kes yang tidak tepat. Sebab itu, bancian dan pengesahan mesti dilakukan sebelum bantuan disalurkan," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan seorang pelajar cedera selepas ditikam di sebuah sekolah menengah di daerah itu, namun mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mangsa berusia 15 tahun cedera pada bahagian badan dan bahu selepas dipercayai ditikam dalam insiden berkenaan.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama sebelum insiden berlaku.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

