'Saya ada terima mesej senarai nama tular, biar polis siasat' - Bapa pelajar kes tikam

BANTING - "Saya ada juga mendengar cerita dan menerima mesej WhatsApp yang mengandungi senarai nama yang tular itu, tetapi kami tidak dapat memastikan kesahihannya."
Demikian kata Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang menegaskan anak perempuannya bukan pembuli, susulan dakwaan di media sosial yang mengaitkan mangsa kes tikam di sebuah sekolah di sini dengan kes buli.
Menurutnya, beliau enggan membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
"Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui di Hospital Banting pada Selasa.

Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis-JPN
Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis
'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Mohd Firuz berkata, berdasarkan perwatakan yang dikenalinya, anak perempuannya seorang yang pendiam dan tidak pernah keluar bersendirian bersama rakan-rakan.
"Kalau keluar rumah pun saya atau ibunya yang menghantar.
"Bila ditanya, barulah dia menjawab dan hanya meminta sesuatu apabila perlu.
"Dia tidak pernah keluar bersendirian dengan rakan-rakan. Jika ada dakwaan mengatakan dia membuli, saya rasa perkara itu tidak mungkin berlaku. Namun, saya terbuka sekiranya pihak polis mahu menyiasat elemen buli," katanya.

Beliau turut memaklumkan keluarganya tidak mengenali keluarga remaja yang didakwa menikam anak perempuannya dan mangsa juga tidak pernah bercerita mengenai individu berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin, pelajar perempuan berusia 15 tahun itu dipercayai ditikam oleh seorang rakan sekolah seusia sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan sebelum dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Kes tikam di sekolah: Suspek pelajar perempuan disiasat cubaan bunuh
Suspek kes tikam pelajar direman empat hari
Kes tikam pelajar: Peguam sahkan suspek OKU
Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Suspek yang memakai kemeja-T hitam dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan kini direman selama empat hari sehingga Jumaat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
