Pengedar dadah ditahan bersama senjata api tiruan, ratusan peluru hidup

Mohd Alwi (dua dari kiri) menunjukkan laras senjata api tiruan yang dirampas bersama penahanan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di Sitiawan, Manjung, minggu lalu.
Mohd Alwi (dua dari kiri) menunjukkan laras senjata api tiruan yang dirampas bersama penahanan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di Sitiawan, Manjung, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Bukan sekadar mengedar dadah, seorang lelaki turut dikesan menyimpan objek menyerupai senjata api bersama ratusan peluru hidup dalam serbuan di Sitiawan, Manjung minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan dalam dua siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak pada 1 Julai lalu.

Menurutnya, serbuan pertama kira-kira jam 7.15 malam di kawasan Taman Terus Maju, Sitiawan berjaya menahan suspek yang berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan tiga peket plastik berwarna merah mengandungi bahan disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 66.64 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, polis menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Kampung Cina, Sitiawan yang dipercayai didiami suspek.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah peninggalan keluarga suspek itu menemukan 12 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin dengan anggaran berat 64.30 gram.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah pondok kayu di bahagian belakang rumah itu menemukan satu objek menyerupai pistol, tujuh laras menyerupai senapang serta dua laras menyerupai busur silang.

“Turut dirampas 208 butir peluru hidup dan lapan kelongsong peluru,” katanya.

Mohd Alwi berkata, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu secara solo sejak empat bulan lalu dengan menjual sendiri bekalan dadah kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan keterangan, suspek mengaku menyimpan objek menyerupai senjata api itu sebagai koleksi peribadi kerana minat terhadap senjata.

“Kita tidak menolak kemungkinan senjata tersebut diperoleh dari kawasan sempadan. Semua senjata ini akan dihantar ke forensik bagi menentukan sama ada ia boleh digunakan dengan peluru hidup yang dirampas,” katanya.

Menurut Mohd Alwi, suspek telah direman selama enam hari bermula 2 Julai lalu bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Lucuthak Harta) 1988 dengan penyitaan wang tunai berjumlah RM720.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!