Jangan lantik ketua kampung secara tangkap muat!

Norali (kanan) menyerahkan bungkusan ikan kepada anggota Balai Polis Sungai Senam sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus ketika tempoh PKP.
Norali (kanan) menyerahkan bungkusan ikan kepada anggota Balai Polis Sungai Senam sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus ketika tempoh PKP.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak perlu memastikan individu yang akan dilantik sebagai ketua kampung menggantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum ini benar-benar berkelayakan.

Ketua UMNO Cawangan Sungai Senam, Norali Nordin berkata, perkara itu penting bagi memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada segala bentuk inisiatif yang diumumkan kerajaan.

Menurutnya, terdapat sesetengah kawasan kampung yang mana penduduknya hilang kepercayaan kepada ketua kampung kerana dipilih bukan berdasarkan kelayakan tetapi disebabkan pemimpin politik setempat.

"Kita tidak mahu lagi lantikan ketua kampung dibuat secara tangkap muat tanpa melihat kemampuan untuk berdepan dengan masyarakat kerana ia langsung tidak membantu menyelesaikan masalah.

"Pada saya, tak kisahlah ketua kampung itu dari parti mana asalkan masyarakat senang dan boleh mengadu masalah dengannya," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan lebih 600 bungkusan ikan kepada anggota keselamatan di sekitar Sungai Senam di sini hari ini.

Norali berkata, individu yang dilantik sebagai ketua kampung itu juga mestilah dalam kalangan atau mesra terhadap parti yang memerintah agar segala dasar kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat.

Mengenai sumbangan yang diberikan kepada anggota keselamatan di sekitar Sungai Senam itu, beliau berkata, ia merupakan inisiatif UMNO Cawangan Sungai Senam sebagai menghargai pengorbanan pasukan keselamatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, antara anggota yang diberikan sumbangan itu adalah daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Balai Polis Sungai Senam di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu sebahagian sumbangan juga diagihkan kepada penduduk di Rumah Pangsa Jalan Ashby di sini.