Kematian warga asing tiada kaitan Covid-19

Gambar menunjukkan petugas kesihatan menjalankan aktiviti disinfeksi dibkawasan rumah mangsa yang tular sejak petang, semalam.
Gambar menunjukkan petugas kesihatan menjalankan aktiviti disinfeksi dibkawasan rumah mangsa yang tular sejak petang, semalam.
A
A
A

IPOH - Kematian seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Selamat, Sitiawan, semalam bukan disebabkan wabak koronavirus (Covid-19) sepertimana tular di media sosial.

Jabatan Kesihatan Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR) yang dijalankan ke atas mangsa berusia 42 tahun itu adalah negatif.

"Ujian Covid-19 menerusi RT-PCR telah dijalankan di makmal Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 9. 47 malam tadi dan keputusannya adalah negatif," katanya.

Kenyataan sama berkata, pada Jumaat lepas lelaki itu dilaporkan mengalami demam, hilang selera makan dan sukar bergerak.

Seorang doktor swasta yang dipanggil merawat di rumah mengesyaki mangsa mengalami masalah kesihatan radang otak (meningitis).

"Semalam, keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan dia dijumpai tidak bernafas pada jam 3 pagi, kematiannya telah disahkan oleh Pegawai Hospital Seri Manjung," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sekumpulan petugas kesihatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dipercayai menjalankan aktiviti disinfeksi di kediaman mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan, kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aktiviti dijalankan petugas kesihatan itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan mangsa mempunyai gegala demam sebelum ini.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan sesuatu berita yang tidak sahih kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

Sehingga semalam, Perak merekodkan 244 kes positif Covid-19 dengan empat kematian.

Kematian terbaru membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 90 tahun di Hospital Taiping yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.