Tiga beranak menyamar pekerja kebajikan, perdaya warga emas serahkan barang kemas

Barang kemas milik mangsa yang berjaya dirampas.
Barang kemas milik mangsa yang berjaya dirampas.
A
A
A

IPOH – Terperdaya tawaran bantuan kebajikan RM2,000 sebulan, seorang wanita warga emas sanggup menyerahkan barang kemas dipakai kepada sindiket penipuan dalam kejadian di sebuah hospital di Teluk Intan pada 29 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 67 tahun didatangi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan ketika sedang menunggu giliran menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, suspek menawarkan bantuan kebajikan sebanyak RM2,000 sebulan sebelum meminta mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai kononnya bagi tujuan memproses permohonan bantuan berkenaan.

“Mangsa tanpa menyedari dirinya ditipu telah menyerahkan seutas rantai leher emas, sepasang subang emas bersama rantai pendek serta tiga cincin emas.

“Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya apabila suspek tidak kembali menemuinya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Alwi berkata, hasil siasatan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berjaya mengesan suspek di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor sekitar jam 4.10 petang pada Jumaat.

Katanya, seramai tiga suspek berusia antara 22 hingga 50 tahun terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki yang mempunyai pertalian kekeluargaan iaitu ibu dan dua anak berjaya ditahan.

“Polis turut merampas pakaian yang digunakan suspek ketika memperdayakan mangsa.

“Selain itu, polis berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang telah dijual oleh anak suspek di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Intan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 7 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan bantuan kebajikan dengan meminta barang kemas atau wang tunai sebagai syarat.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan seumpama itu boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!