Pondok Cahaya Iman medan warga emas dalami ilmu agama

Sesi pembelajaran al-Quran dilakukan di PCI, Tangkak, Johor.
Sesi pembelajaran al-Quran dilakukan di PCI, Tangkak, Johor.
A
A
A

TANGKAK – Keperluan pusat pengajian khusus untuk golongan dewasa dan warga emas mendorong penubuhan Pondok Cahaya Iman yang kini menjadi lokasi mendalami ilmu agama sebagai bekalan akhirat.

Pengetua Pondok Cahaya Iman, Noor Effendi Hamid berkata, pihaknya berhasrat menyediakan ruang pembelajaran agama yang lebih tersusun khusus kepada golongan berusia 40 tahun ke atas.

Menurutnya, masih ramai individu mempunyai keinginan untuk mendalami ilmu agama, namun tidak berpeluang mengikuti pengajian secara sistematik sebaik memasuki fasa persaraan atau meningkat usia.

“Matlamat kami adalah menyediakan medan kepada golongan dewasa dan warga emas untuk terus menuntut ilmu agama dalam suasana kondusif, sekali gus menghidupkan amalan pembelajaran sepanjang hayat.

“Pengajian di Kampung Kesang Laut, di sini, meliputi pelbagai bidang termasuk tadabbur al-Quran, talaqqi al-Quran bersanad, akidah, fikah, tasawuf, zikir serta amalan ibadah yang disampaikan secara berperingkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Effendi berkata, syarat kemasukan sebagai penghuni tetap ialah berusia lebih 40 tahun serta mampu menguruskan diri tanpa bantuan orang lain.

“Pendekatan pembelajaran yang menekankan kefahaman serta penghayatan terhadap ibadah menjadi antara faktor utama menarik minat peserta dari pelbagai negeri untuk menyertai pengajian di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata, pusat pengajian yang mula beroperasi pada awal 2024 itu menerima sambutan memberangsangkan apabila semakin ramai peserta memilih mengikuti pengajian berteraskan ilmu, iman dan amal yang disusun secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi memastikan keselesaan penghuni, Pondok Cahaya Iman menyediakan bilik penginapan berhawa dingin dilengkapi tandas di setiap bilik serta dapur selain kemudahan dobi.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, ruang pengajian yang ada ketika ini hanya mampu menampung sekitar 50 peserta pada satu-satu masa menyebabkan penyertaan baharu terpaksa dihadkan.

“Sehubungan itu, kami merancang untuk membina Dewan Abu Musa al-Asy’ari yang bakal menjadi dewan pengajian utama, ruang solat dan pusat pelbagai aktiviti ilmu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur melalui CIMB Bank 860 326 3411 atau Maybank 5510 4352 2354 selain boleh menghubungi pejabat di talian 013-986 5677.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!