Politik perkauman terus jadi cabaran di Malaysia

Kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya hidup bersama dalam kepelbagaian. Gambar hiasan
Kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya hidup bersama dalam kepelbagaian. Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum yang unik. Dalam kehidupan seharian, rakyat daripada pelbagai etnik dan agama sebenarnya hidup dalam keadaan harmoni.

Di tempat kerja, sekolah, institusi pengajian tinggi, kawasan perumahan dan premis perniagaan hubungan antara kaum berlangsung secara semula jadi tanpa banyak masalah.

Budaya saling menghormati serta meraikan kepelbagaian menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Realitinya, kebanyakan rakyat di peringkat akar umbi lebih memberi perhatian kepada isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan keluarga.

Namun begitu, sentimen perkauman masih muncul dari semasa ke semasa dan sering menjadi topik perdebatan dalam ruang awam.

Wujud pandangan bahawa keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada segelintir pihak yang menggunakan isu kaum untuk meraih sokongan politik.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian yang telah dibina sejak sekian lama, malah berpotensi mengalihkan fokus rakyat daripada isu-isu lebih penting yang memerlukan penyelesaian bersama.

Terbaru ada pihak daripada parti tertentu melabel pihak lain sebagai perkauman kerana menolak kerjasama dua parti kerana pendirian dibuat.

Persoalan yang timbul ialah adakah ia kegagalan memahami perbezaan asas antara kaum dengan parti politik atau sengaja memainkan sentimen untuk mempengaruhi sesuatu kaum.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan perpaduan terus utuh, semua pihak terutama pemimpin perlu mengamalkan politik matang dengan menumpukan kepada dasar serta penyelesaian masalah rakyat.

Pada masa sama, sistem pendidikan perlu terus diperkukuh dengan nilai saling menghormati serta kefahaman antara budaya.

Media dan pengguna media sosial pula perlu lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.

Kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya hidup bersama dalam kepelbagaian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!