PRN Johor: Corak sokongan terhadap PH semakin meyakinkan - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

JOHOR BAHRU - Corak sokongan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH) didakwa menunjukkan trend trend yang semakin meyakinkan sepanjang separuh pertama tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tahap itu diukur berdasarkan penjejakan sokongan dilakukan di kerusi-kerusi keutamaan yang ditandingi gabungan berkenaan.

Menurut beliau, penilaian dibuat berdasarkan kategori keutamaan melibatkan 20 kerusi ditandingi Pakatan Harapan (PKR), 19 kerusi Parti Amanah Negara (Amanah) dan 17 kerusi DAP.

"Sudah tentu di pihak Barisan Nasional (BN) juga mereka membuat ukuran yang sama. Jadi kita mempunyai beberapa kelompok kawasan yang diberikan penarafan keutamaan.

"Apa yang saya maksudkan ialah, bagi kawasan-kawasan ini, separuh masa pertama kempen menunjukkan trend sokongan yang sangat meyakinkan.

"Sebahagiannya disebabkan strategi parti yang kita gunakan, tetapi pada masa yang sama kita juga melihat pihak lawan turut membantu melonjakkan sokongan kepada kita," katanya ketika sidang akhbar di Puteri Wangsa di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, antara faktor yang memberi kesan kepada perubahan corak sokongan ialah pengumuman Pas yang hanya bertanding di 11 kerusi dan menyatakan sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

"Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi Johor," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, PH menawarkan pendekatan yang lebih telus kepada rakyat dengan pembahagian kerusi jelas serta menawarkan satu pilihan untuk membentuk kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 20 kerusi ditandingi PKR, 19 oleh Amanah dan 17 oleh DAP. Semuanya jelas tanpa sebarang mesej tersembunyi.

"Kita juga menawarkan manifesto yang mudah difahami, munasabah, mempunyai garis masa yang jelas serta mampu dilaksanakan. Sambutan yang diterima juga sangat meyakinkan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keyakinan terhadap peningkatan sokongan kepada PH didorong oleh dua faktor utama iaitu keberkesanan strategi kempen gabungan itu dan kenyataan politik yang dikeluarkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa kempen masih berbaki tujuh hari dan PH akan terus memperkukuhkan gerak kerja bagi mengekalkan momentum tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kempen gabungan itu turut menerima suntikan semangat menerusi kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program kempen, selain penyertaan seorang bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di pentas PH.

Menurutnya, kehadiran tokoh berkenaan akan dimanfaatkan bagi menyampaikan fakta kepada pengundi tanpa membuat sebarang ulasan politik, sekali gus membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!