PRN Johor: PH beri keutamaan kepada kerusi sasaran, trend sokongan meningkat - Saifuddin Nasution

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) melaksanakan strategi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mengelaskan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut tahap keutamaan berdasarkan trend sokongan semasa di lapangan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 'gred' atau penarafan itu diberikan bagi memastikan tumpuan khusus dapat disalurkan kepada kawasan sasaran berdasarkan profil dan cabaran berbeza di setiap DUN.
"Kita memberikan penarafan terhadap kawasan dari permulaan kita masuk, Puteri Wangsa tentunya tidak sama dengan Johor Lama misalnya atau Larkin tentu tidak sama dengan Endau.
"Jadi kita mempunyai beberapa kelompok kawasan yang diberikan penarafan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat Cina dalam sesi sarapan pagi bersama-sama calon DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik di sini pada Ahad.
Saifuddin Nasution yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR berkata, peningkatan sokongan kepada PH didorong oleh keberkesanan strategi kempen selain kenyataan politik pihak lawan yang memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.
Sebagai contoh, beliau berkata, tindakan Pas yang hanya bertanding di 11 kerusi meminta penyokong mereka untuk menyokong Barisan Nasional (BN) di kawasan lain, sebagai faktor yang memberi kesan terhadap sokongan kepada PH.
Sebaliknya, PH menurut beliau mengambil pendekatan lebih telus dengan mengumumkan pembahagian kerusi secara jelas dan menawarkan manifesto munasabah yang mampu dilaksanakan.
"Corak sokongan yang meyakinkan itu disumbangkan oleh strategi kempen yang diatur oleh PH (dan) kenyataan-kenyataan politik daripada pihak lawan,” katanya.
Saifuddin Nasution turut menyifatkan kehadiran bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pada siri ceramah bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Ulu Tiram, semalam sebagai nilai tambah kepada momentum PH.
Pada masa sama, beliau menyifatkan Maszlee sebagai calon yang berkelayakan dan aset penting kepada PH sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN Johor.
PRN Johor menyaksikan PH meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN terdiri daripada 20 wakil PKR, Amanah (19) dan DAP (17).
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai - Bernama
INFO
N41:Puteri Wangsa: 128,723 pengundi
1. Nicholas Paul Vincent (Bersama)
2. Wang Wee Siong (Bebas/IND)
3. Dr Maszlee Malik (PH-PKR)
4. Rashifa Aljunied (MUDA)
5. Teow Chia Ling (BN-MCA)
(2022: Amira Aisya Abd Aziz: MUDA: Maj: 7,114)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
