Landskap baharu pengajian tinggi

IPT harus menawarkan program yang lebih fleksibel bagi membolehkan pelajar menguasai beberapa bidang sekali gus. - Gambar hiasan
IPT harus menawarkan program yang lebih fleksibel bagi membolehkan pelajar menguasai beberapa bidang sekali gus. - Gambar hiasan
A
A
A

TIDAK ada sesiapa pun yang menduga bahawa tahun 2020 akan menjadi tahun yang amat menguji kita semua. Pandemik koronavirus (Covid-19) bakal melakar sejarah tersendiri buat umat manusia. Boleh dikatakan tidak ada sektor atau segmen kehidupan manusia yang tidak terkesan dengan peristiwa yang sedang berlaku di depan mata kita ini. Wabak yang bermula pada Disember 2019 di Wuhan, China kini telah merebak hampir ke seluruh pelosok dunia.

Di Malaysia, kita masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Langkah ini perlu diambil bagi memastikan kita dapat mengawal dan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 secara tuntas dan sekali gus berjaya mengekang penularan wabak ini.

Apa pun yang mungkin berlaku selepas ini, kehidupan normal atau biasa kita mungkin berubah. Kita harus menerima hakikat bahawa satu ‘kebiasaan baharu’ sudah berada di hadapan.

Acara-acara keramaian dan perhimpunan awam tidak lagi sesuai diadakan pada waktu ini. Justeru, pertemuan sosial secara maya kini menjadi satu kebiasaan baharu. Malahan di rumah-rumah ibadat juga, jika ia telah dibenarkan digunakan, penjarakan fizikal juga mungkin harus diamalkan.

Aktiviti sosial yang lain seperti makan di restoran, menonton wayang dan persembahan pentas mungkin memerlukan satu pendekatan dan panduan baharu.

Gelombang

Dalam sektor pendidikan pengajian tinggi, trend pembelajaran digital bukan lagi satu pilihan, malah menjadi kemestian. Tempoh PKP yang dilalui juga dengan jelas memperlihatkan betapa pendidikan digital dan pembelajaran di atas talian di institusi pendidikan perlu dipertingkatkan keupayaannya.

Malahan mesyuarat dan pertemuan penting juga sudah boleh dan perlu melaksanakan pendekatan yang sama selepas ini. Ia lebih menjimatkan kos dan masa kerana kita tidak perlu bergerak keluar dan melalui perjalanan yang meletihkan hanya kerana ingin bermesyuarat selama satu atau dua jam di luar rumah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, sudah sampai masanya pihak swasta dan kerajaan sama-sama memikir dan merancang bagaimana liputan internet dan jalur lebar dapat segera diperluaskan ke kawasan-kawasan yang masih lemah atau tiada liputan di seluruh negara.

Jurang digital di Malaysia harus segera dirapatkan dan ia memerlukan satu transformasi menyeluruh. Saya dan warga Kementerian Pengajian Tinggi akan cuba melakukan apa yang terdaya tanpa jemu bagi memastikan perkara ini mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Dengan adanya perkhidmatan jalur lebar berkeupayaan tinggi, pengajian tinggi akan menjadi lebih fleksibel, bersifat global dan menjimatkan kos.

Generasi Z dan milenial juga sebetulnya lebih cenderung ke arah pembelajaran secara digital yang lebih fleksibel. Institut pengajian tinggi boleh memasarkan program akademik mereka ke pasaran antarabangsa secara lebih meluas dan tanpa sempadan dengan kos terjangkau serta kompetitif.

Pelajar antarabangsa kita mungkin sudah tidak perlu berada sepenuh masa di negara ini sebaliknya boleh menyambung pengajian di Malaysia secara atas talian.

Potensi ini haruslah diterokai dengan sewajarnya. Namun, ia menuntut kepada keberanian institut pengajian tinggi untuk melakukan transformasi, anjakan paradigma dan inovasi serta melakukan perubahan minda dan dasar serta cara bekerja sedia kepada cara-cara baru yang lebih kreatif.

Covid-19 juga telah mengakibatkan kita berdepan dengan cabaran ekonomi yang hebat. Malah, ancaman ke atas ekonomi negara akibat bahana Covid-19 dijangka membawa kesan yang lebih buruk daripada peristiwa krisis kewangan Asia 1997-1998.

Saya melihat agenda kebolehpasaran graduan semenjak Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPN) dilancarkan pada tahun 2015 perlu diberi perhatian yang lebih serius dalam menghadapi situasi kemelesetan ekonomi dunia.

Kita sedang dan akan menghadapi satu situasi yang amat mencabar dalam beberapa tahun ini, khususnya dalam memastikan para graduan dapat memasuki pasaran pekerjaan ketika peluang pekerjaan semakin terbatas akibat kemelesetan ekonomi.

Meleset

Di institut pengajian tinggi awam, kita mempunyai hampir 22,000 ahli akademik yang boleh membantu negara dari segi idea dan buah fikiran agar negara dapat keluar lebih cepat daripada belenggu kemelesetan ekonomi dunia melalui pemikiran dan penyelidikan serta kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.

Daripada jumlah itu, hampir 7,000 daripada tenaga akademik tersebut merupakan pensyarah bertaraf profesor (hampir 3,000 orang) dan profesor madya (sekitar 4,000 orang) yang saya percaya berupaya memberikan pelbagai sumbangan idea dan saranan yang berimpak tinggi untuk kebaikan negara.

Saya menyeru badan-badan akademik seperti Majlis Profesor Negara (MPN) dan persatuan-persatuan akademik di universiti-universiti kita untuk menyusun langkah segera menganjurkan diskusi dan perbahasan secara atas talian bagi tujuan mengetengahkan pelbagai syor dan pandangan membina kepada kerajaan tanpa rasa ragu untuk dimanfaatkan oleh negara.

Selain itu, saya melihat bahawa agenda keusahawanan di institut pengajian tinggi perlu diberi wajah dan pengisian baharu yang lebih segar serta komitmen yang lebih tinggi bagi melahirkan lebih ramai usahawan graduan yang berdaya maju serta memiliki ketahanan minda dalam mengharungi dunia kerjaya yang semakin mencabar. Kementerian akan memberi penekanan yang serius kepada agenda keusahawanan ini kerana ia boleh membantu kita mengembangkan ekonomi negara dengan lebih pesat.

Bagi menjayakan agenda keusahawanan ini, saya juga ingin menyarankan institut pengajian tinggi menyemak semula kurikulum dan program akademik masing-masing supaya dimensi keusahawanan terus diperkasakan.

Kementerian juga ingin melihat bahawa program-program akademik kita harus berupaya menyediakan ‘broad base education’ dan program yang lebih fleksibel di peringkat sarjana muda agar para mahasiswa berpeluang meluaskan asas pengajian mereka dan menguasai beberapa bidang sekali gus.

Kita harus memastikan para graduan kita bersedia memasuki bukan satu, malah beberapa bidang pekerjaan kerana mereka telah dipersiapkan ke arah itu sejak berada di kampus lagi. Ini kerana dunia kerjaya berubah dengan pantas hasil gangguan teknologi dan perubahan ekonomi.

Saya akan menjelaskan lebih lanjut mengenai agenda-agenda utama yang akan saya gerakkan dan beri keutamaan dalam penulisan-penulisan akan datang.

Pada masa ini, biarlah kita menumpukan kepada upaya mengurus cabaran Covid-19 ini. Keutamaan saya ketika ini adalah memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua pelajar kita di dalam dan di luar negara diurus dengan sebaiknya dan mereka dapat kembali menyambung pengajian mereka walaupun cara dan kaedah biasa sudah berubah. Inilah kebiasaan baharu yang kita perlu bersedia hadapi.

* Datuk Dr Noraini Ahmad ialah Menteri Pengajian Tinggi