Peribadi, rekod khidmat Rafie dan Ridzuan di mata rakan seperjuangan

Ridzuan diberi layanan baik oleh masyarakat di Bukit Katil.
Ridzuan diberi layanan baik oleh masyarakat di Bukit Katil.
A
A
A

DALAM menilai seseorang calon pilihan raya, masyarakat lazimnya memberikan perhatian kepada kelayakan akademik, pengalaman kepimpinan, latar belakang profesional dan tawaran pembangunan.

Namun, berdasarkan pengalaman saya dalam gerakan politik dan kemasyarakatan, terdapat satu lagi aspek yang tidak kurang penting, iaitu keperibadian sebenar seseorang ketika bekerja bersama masyarakat, rakan seperjuangan dan orang bawahan.

Atas dasar itu, saya ingin berkongsi pandangan peribadi mengenai dua calon Pas yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, iaitu Rafie Ahmad di Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Paya Rumput, Parlimen Tangga Batu dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif di DUN N17 Bukit Katil, Parlimen Hang Tuah Jaya.

Rafie (kiri) ketika menyantuni pengundi di Paya Rumput.
Rafie (kiri) ketika menyantuni pengundi di Paya Rumput.

Saya mengenali kedua-duanya secara peribadi, bukan sekadar melalui kempen pilihan raya atau laporan media, malah pernah bekerja bersama mereka dalam pelbagai aktiviti organisasi, kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang penglibatan saya dalam Pas.

Penglibatan saya dalam politik bermula di Parlimen Tangga Batu, tempat saya aktif selama kira-kira sembilan tahun sebelum berpindah ke Hang Tuah Jaya pada 2014. Saya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Kawasan Tangga Batu dari 2006 hingga 2011 sebelum memikul amanah sebagai Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Hang Tuah Jaya selama 10 tahun, dari 2015 hingga 2025.

Penglibatan di kedua-dua kawasan itu memberikan saya peluang mengenali Rafie dan Ridzuan dengan lebih dekat, termasuk memahami pendekatan mereka dalam mengurus organisasi, berinteraksi dengan masyarakat dan menghadapi cabaran perjuangan.

Satu persamaan paling ketara antara kedua-duanya ialah sikap rendah diri, penyabar, tenang dan tidak mudah marah. Sepanjang pengalaman bekerja bersama mereka, saya mendapati kedua-duanya bukan individu yang gemar menonjolkan diri atau mencari perhatian, sebaliknya lebih selesa melaksanakan tanggungjawab dengan tekun dan bersungguh-sungguh di belakang tabir.

Artikel Berkaitan:

Rafie, khususnya, merupakan seorang yang sangat gigih dan hampir tidak mengenal erti penat dalam melaksanakan tugas parti serta membantu masyarakat. Beliau seorang yang tidak suka menonjolkan diri, tetapi rajin bekerja.

Antara sumbangan besar beliau yang masih saya ingat ialah usaha membuka Pejabat Pas Kawasan Tangga Batu. Inisiatif itu memerlukan komitmen, pengorbanan dan kesungguhan dalam membangunkan organisasi.

Pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa Rafie bukan sekadar mampu merancang sesuatu, malah sanggup melaksanakan kerja yang kurang mendapat perhatian umum.

Lebih menarik, Rafie mempunyai latar belakang profesional yang luas. Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Asia e University selain Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang teknikal, perniagaan, pengurusan industri dan korporat.

Pengalaman itu turut dilengkapi tanggungjawab membangunkan dan mengurus Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk menyelaras bantuan, mengurus program dan menyelesaikan masalah penduduk.

Berdasarkan keperibadian dan kemampuan dimilikinya, saya yakin Rafie berupaya merealisasikan enam tawaran untuk Paya Rumput sekiranya diberikan mandat.

Tawaran itu merangkumi pembangunan usahawan kecil, latihan digital untuk wanita, kemudahan rekreasi, pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang pekerjaan belia, tuisyen percuma dan sistem aduan rakyat yang cekap.

Bagi Ridzuan pula, saya mengenali beliau sebagai seorang yang tenang, berbudi bahasa, penyabar dan mudah dibawa berbincang. Sepanjang pengalaman saya di Hang Tuah Jaya, sikapnya yang menghormati orang lain dan tidak pernah meninggikan suara antara sifat yang paling saya kagumi.

Ridzuan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari UPM, Diploma Eksekutif Penguatkuasaan Undang-Undang serta pengalaman hampir 20 tahun dalam perkhidmatan kesihatan awam, persekitaran, undang-undang dan penguatkuasaan.

Beliau turut terbabit dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, termasuk sebagai imam dan pengerusi Surau Ukhwah Islamiah selain berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga sejak menetap di Bukit Katil.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengurus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan ahli jawatankuasa Sekolah Rendah Islam Integrasi Teras Islam (SRITI) selama beberapa tahun. Selain itu, beliau merupakan ahli jawatankuasa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Melaka dari 2022 hingga 2025.

Sepanjang menetap di Bukit Katil, banyak sumbangan beliau kepada penduduk setempat, sama ada melalui kerja kebajikan mahupun tugas dalam bidang kesihatan, khususnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Keputusan Ridzuan meninggalkan kerjaya tetap dalam perkhidmatan kerajaan untuk bertanding dalam pilihan raya merupakan satu pengorbanan besar dari sudut profesional dan keluarga. Beliau memilih untuk menceburi politik sepenuh masa demi menangani permasalahan masyarakat, meskipun bidang itu tidak menjanjikan pulangan material.

Sepanjang mengenalinya, saya melihat Ridzuan sebagai individu yang realistik dan tekun bekerja. Ciri-ciri itu turut diterjemahkan menerusi empat teras tawarannya di Bukit Katil yang memberikan perhatian kepada kebajikan keluarga dan pendidikan, kebersihan serta rekreasi, pembangunan kemahiran dan pekerjaan belia, selain penambahbaikan infrastruktur serta usaha mengurangkan kesesakan trafik.

Antara cadangannya termasuk subsidi yuran asuhan anak bagi keluarga yang layak, tuisyen percuma, peluang pekerjaan untuk golongan belia dan orang kurang upaya (OKU), serta penyelarasan aduan berkaitan infrastruktur.

Sebagai individu yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, beliau juga memiliki pengetahuan yang relevan untuk memahami proses pelaksanaan dasar.

Penglibatan Rafie dan Ridzuan selama lebih dua dekad bersama Pas dan masyarakat memperlihatkan pengalaman serta keupayaan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Namun, persamaan kedua-duanya bukan sekadar terletak pada latar belakang pendidikan atau pengalaman organisasi. Mereka turut memperlihatkan nilai kepimpinan yang saya anggap penting, khususnya kesabaran, kesederhanaan, disiplin bekerja, kesungguhan melaksanakan amanah dan sikap menghormati masyarakat.

Saya juga menghargai hakikat bahawa kedua-duanya tidak pernah menjadikan perbezaan kedudukan atau pandangan sebagai alasan untuk mengetepikan hubungan baik. Mereka peramah, mudah didekati, suka mendengar dan berbincang, selain mampu mengawal emosi. Semua itu merupakan sifat penting yang perlu ada pada seseorang wakil rakyat.

Sebagai individu yang pernah bekerja rapat dengan Rafie dan Ridzuan, saya mengenali mereka bukan sekadar melalui penampilan di pentas politik, tetapi juga berdasarkan pengalaman menyaksikan sendiri akhlak, kesungguhan, kesabaran, keikhlasan dan komitmen dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Bagi saya, ukuran sebenar kepimpinan bukan sekadar pada kehebatan seseorang berpidato di hadapan khalayak atau kemampuannya menarik perhatian umum. Sebaliknya, ia terletak pada keikhlasan menyantuni masyarakat, kesediaan mendengar keluhan rakyat, keteguhan memikul amanah serta kesanggupan terus berkhidmat tanpa mengharapkan sanjungan, pujian atau pengiktirafan.

Inilah antara nilai kepimpinan yang saya lihat dan hargai sepanjang mengenali serta bekerja bersama Rafie dan Ridzuan.

Justeru, saya amat menghargai keputusan Pas Melaka memberikan kepercayaan kepada kedua-dua tokoh ini untuk bertanding di Paya Rumput dan Bukit Katil.

Berdasarkan pengalaman saya, mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, pengalaman profesional dan kemampuan mengurus organisasi, malah turut mempunyai hubungan baik dengan pelbagai lapisan masyarakat serta penerimaan positif dalam kalangan akar umbi.

Saya juga melihat pengalaman gerak kerja mereka, ditambah dengan kerjasama dan sokongan jentera Pas serta parti rakan dalam PN dan Barisan Nasional (BN), sebagai kekuatan yang mampu membantu mereka mencabar calon Pakatan Harapan (PH), iaitu Datuk Azman Abidin di Paya Rumput dan Adly Zahari di Bukit Katil.

Walaupun kedua-dua calon PH itu mempunyai pengalaman dan kedudukan politik tersendiri, saya berpandangan Rafie dan Ridzuan turut memiliki kelebihan, khususnya dari segi hubungan dengan akar umbi, pengalaman khidmat masyarakat, kelayakan profesional serta kesediaan mendekati permasalahan penduduk secara langsung.

Antara kelebihan paling ketara kedua-duanya ialah kesungguhan membina hubungan dengan masyarakat secara berterusan, bukan semata-mata ketika musim pilihan raya. Mereka memahami bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh dibina melalui janji dan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan kehadiran, perhatian, kesabaran dan tindakan yang konsisten.

Saya menaruh harapan besar agar penyertaan Rafie dan Ridzuan dalam PRN Melaka kali ini membuka lembaran baharu kepada Pas Melaka dengan mengetengahkan kepimpinan yang berilmu, berakhlak mulia, berpengalaman, berintegriti dan berjiwa rakyat.

Pada diri mereka, saya melihat asas kepimpinan yang bukan sekadar bersandarkan jawatan, tetapi dibuktikan melalui amanah, akhlak dan bakti yang dirasai masyarakat.

Semoga mereka terus menjadi contoh pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan diri.

*** HAWA YAAKUB ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!