Wakaf: Daripada amal jariah kepada pemangkin kekuatan ekonomi sosial Islam

WAKAF bukan sekadar manifestasi amal jariah untuk meraih ganjaran akhirat, malah merupakan instrumen kewangan sosial Islam yang berupaya membina kekuatan ekonomi, merapatkan jurang ketidaksamaan dan menjamin kesejahteraan masyarakat secara berterusan.
Dalam menghadapi tekanan kos sara hidup, ketidakseimbangan pemilikan kekayaan serta keperluan memperkasa pendidikan dan keusahawanan, wakaf wajar diangkat sebagai mekanisme pembangunan negara yang strategik, inklusif dan mampan.
Dalam konteks ini, Wakaf Mara Madani menawarkan ruang penting untuk mentransformasikan potensi wakaf daripada sumbangan kebajikan kepada pemangkin pembangunan sosioekonomi, khususnya dalam kalangan Bumiputera.
Keistimewaan wakaf terletak pada prinsip mengekalkan harta pokok agar manfaatnya dapat dinikmati secara berpanjangan. Berbeza dengan sumbangan yang lazimnya dihabiskan untuk memenuhi keperluan segera, aset wakaf boleh dibangunkan atau dilaburkan secara patuh Syariah bagi menjana pulangan yang boleh dimanfaatkan secara berterusan.
Tanah wakaf, misalnya, boleh dimajukan sebagai premis perniagaan, manakala wakaf tunai berpotensi menyokong pembiayaan pendidikan, kemudahan kesihatan, pembangunan usahawan dan kesejahteraan komuniti.
Justeru, wakaf bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah membina sumber manfaat ekonomi yang dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Potensi ini semakin signifikan apabila khazanah wakaf negara dilihat dari sudut pembangunan ekonomi Islam Malaysia. Menurut angka yang dinyatakan dalam laporan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi tahun 2025, kutipan wakaf tunai di Malaysia mencecah kira-kira RM240 juta, manakala negara mempunyai 25,485 lot tanah wakaf yang meliputi sekitar 44,450 hektar.
Kekayaan ini mencerminkan peluang besar yang masih boleh diterokai melalui pembangunan aset secara produktif. Namun, nilai sebenar wakaf tidak terletak pada jumlah kutipan atau keluasan tanah semata-mata, sebaliknya pada keupayaannya diterjemahkan kepada manfaat sosial dan ekonomi yang nyata.
Wakaf Mara Madani: Memperluas manfaat, memperkukuh peluang
Dilancarkan pada 2 Mac 2024, Wakaf Mara Madani merupakan inisiatif yang menghubungkan prinsip wakaf dengan agenda pembangunan pendidikan, keusahawanan dan kesejahteraan Bumiputera.
Melalui pengumpulan dana, pengurusan serta pelaburan patuh Syariah, inisiatif ini berpotensi menyokong pelbagai sektor, termasuk pendidikan, kebajikan, pengangkutan, kesihatan dan pembangunan aset wakaf.
Keistimewaannya turut terserlah melalui ruang penyertaan masyarakat yang lebih luas, merangkumi wakaf tunai, aset alih dan tidak alih, kepakaran, harta intelek, saham korporat serta unit amanah, tertakluk pada ketetapan Syariah dan syarat pengurusan yang berkenaan.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa wakaf tidak seharusnya dianggap sebagai amalan eksklusif golongan berharta. Sebaliknya, masyarakat daripada pelbagai latar belakang boleh menyumbang mengikut kemampuan dan sumber yang dimiliki.
Jika diurus secara profesional, dana wakaf berpotensi memperluas akses kepada pendidikan, membantu pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkukuh keupayaan usahawan serta merangsang kegiatan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
Kesannya bukan sahaja diukur melalui bantuan yang disalurkan, tetapi juga melalui peluang pekerjaan, peningkatan keupayaan ekonomi dan pengurangan kebergantungan kepada bantuan jangka pendek.
Dari perspektif ekonomi Islam, matlamat ini selari dengan Maqasid Syariah, khususnya pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Wakaf yang diurus berlandaskan keutamaan masyarakat dapat membantu memenuhi keperluan asas, mengurangkan kemiskinan dan memperluas akses kepada kemudahan awam.
Prinsip ini menuntut agar pembangunan aset wakaf tidak hanya mengejar pulangan kewangan, tetapi turut mempertimbangkan kepentingan sosial. Ketika masyarakat memerlukan perumahan yang selamat, makanan berkhasiat, pendidikan berkualiti dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, keutamaan pembangunan hendaklah diberikan kepada keperluan yang benar-benar mendesak.
Inilah makna pembangunan yang mengimbangi kemajuan material dengan kesejahteraan insan dan tuntutan al-falah.
Walau bagaimanapun, potensi wakaf tidak akan tercapai tanpa tadbir urus yang berintegriti, ketelusan kewangan, kepakaran profesional dan pemantauan pelaburan yang berkesan.
Kerjasama strategik antara Mara, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), institusi kewangan Islam, institusi pendidikan tinggi, sektor korporat dan masyarakat perlu diperkukuh bagi menggembleng sumber dana, pengetahuan serta kepakaran.
Pada masa yang sama, kejayaan WMM tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah dana yang dikumpulkan semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna merangkumi bilangan penerima manfaat, peluang pendidikan yang diwujudkan, pertumbuhan usahawan, peluang pekerjaan yang dijana dan impak sosial jangka panjang.
Ketelusan dalam pelaporan serta pematuhan Syariah menjadi asas untuk memelihara amanah dan meningkatkan keyakinan masyarakat.
Kesimpulannya, wakaf perlu diberikan kedudukan yang lebih strategik dalam landskap kewangan sosial Islam Malaysia. Jika zakat memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan golongan asnaf, wakaf pula berpotensi membina asas ekonomi sosial yang menjana manfaat secara berterusan.
Wakaf Mara Madani sewajarnya diperkukuh sebagai wadah yang menghubungkan ibadah dengan pembangunan, amanah dengan profesionalisme serta kebajikan dengan pemerkasaan ekonomi.
Apabila harta wakaf diurus secara bijaksana, berintegriti dan berpaksikan keperluan masyarakat, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh generasi hari ini, malah menjadi legasi kesejahteraan untuk generasi mendatang.
Sesungguhnya, kekuatan wakaf bukan sekadar pada nilai harta yang dihimpunkan, tetapi pada sejauh mana harta tersebut mampu mengubah kehidupan dan membina masa depan yang lebih adil serta sejahtera.
*Prof Madya Dr Hazriah Hasan ialah pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). E-mel: hazriah.h@umk.edu.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
