Dua wanita maut, SUV dipandu terbabas langgar surau sekolah

PASIR PUTEH – [KEMAS KINI] Dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh surau di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, Selising pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.34 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia awal 30-an dan 50-an yang tersepit dalam kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kenderaan yang dinaiki enam sekeluarga warga Indonesia, terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki yang juga pemandu.
“Dua mangsa wanita didapati tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, empat lagi mangsa termasuk pemandu yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

