Plaza Tol Gombak 'dipukat', dua pemandu positif dadah

KUALA LUMPUR - Plaza Tol Gombak di sini 'dipukat' dalam operasi penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada Sabtu.
Operasi Bersepadu Dadah digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 8 pagi telah melaksanakan ujian saringan air kencing ke atas 74 pemandu.
Menurutnya, ujian yang dijalankan AADK itu mengesan dua individu positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
"Kedua-dua lelaki itu merupakan pemandu lori timber jinker dan kereta sewa masing-masing berumur 31 dan 41 tahun.
"Tindakan diambil mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sekiranya individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan, JPJ akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan menggantung lesen memandu individu berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Jelasnya, selain tindakan terhadap pemandu, syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
"Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggaji pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.
Operasi itu turut memeriksa 228 buah kenderaan perdagangan dengan 43 buah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Kata beliau, sebanyak 75 notis telah dikeluarkan, manakala sebuah bas henti-henti telah disita untuk tindakan lanjut.
"Dalam operasi yang sama, MOTAC telah memeriksa 36 buah kenderaan pelancongan dan mengesan satu kes melibatkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
"Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992," ujarnya.

Hamidi berkata, operasi bersepadu ini dilaksanakan bersama bagi memastikan hanya pemandu yang layak, berdisiplin serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan di jalan raya.
Tegasnya, JPJ memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia bukan sahaja melibatkan pelanggaran undangundang, malah boleh mengundang risiko kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.
"JPJ akan terus memperkukuh pelaksanaan operasi penguatkuasaan bersama agensi-agensi berkaitan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu dan syarikat pengangkutan, sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
