Penunggang motosikal maut terjatuh gaung 20 meter

Pasukan bomba membantu membawa naik mangsa menggunakan pengusung. Gambar kecil: Zahidan Foto Bomba Pahang
Pasukan bomba membantu membawa naik mangsa menggunakan pengusung. Gambar kecil: Zahidan Foto Bomba Pahang
A
A
A

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di kawasan jejambat ASPA Cottage, di sini pada Jumaat.

Mangsa dikenali Zahidan Nor, 46, dari Kampung Cherating di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 malam.

Menurutnya, seramai 13 anggota termasuk Ketua Balai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah van Urvan digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kita mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan mangsa terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.

"Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan teknik High Rope Rescue dengan dua anggota diturunkan ke dalam gaung bagi membawa naik mangsa menggunakan pengusung," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!