Sinar Harian sedia bersama RTM, Awani anjur debat PRN Johor

Zamri Rambli Foto: Bernama
Zamri Rambli Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Sinar Harian bersedia berganding bahu dengan mana-mana organisasi media bagi menganjurkan debat atau dialog terbuka membabitkan calon-calon utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai usaha memperkukuh amalan demokrasi.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, media tidak seharusnya sekadar menjadi penyampai maklumat, malah perlu menyediakan ruang kepada pemimpin politik menjelaskan idea, dasar serta penyelesaian mereka secara terbuka kepada rakyat.

Menurut beliau, sekiranya semua pihak bersetuju, Sinar Harian bersedia bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani serta mana-mana platform media lain bagi merealisasikan sesi debat atau dialog tersebut.

“Sebagai organisasi media yang sentiasa mengangkat kepentingan rakyat, kami percaya debat yang dikendalikan secara profesional, adil dan seimbang mampu meningkatkan kualiti wacana politik negara.

“Pengundi hari ini bukan sekadar mahu mendengar ceramah politik semata-mata. Mereka mahu melihat calon berhujah, mempertahankan dasar dan menjawab persoalan rakyat secara terus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan Astro Awani untuk bekerjasama dengan RTM menawarkan platform siaran langsung bagi dialog interaktif sekiranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersetuju berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Zamri berkata, budaya debat yang sihat bukan sesuatu yang asing di negara-negara demokrasi maju dan Malaysia juga wajar memperluaskan amalan tersebut, khususnya ketika pilihan raya.

Malah katanya, Sinar Harian sebelum ini pernah beberapa kali menganjurkan debat antara pemimpin utama negara antaranya mempertemukan Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan Datuk Seri Azeez Rahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau turut berharap lebih ramai calon dan pemimpin politik bersedia menyertai sesi debat secara terbuka kerana ia mencerminkan kematangan politik serta komitmen terhadap prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan tagline Suara Rakyat, saya percaya Sinar Harian mampu menjadi jambatan antara pemimpin dan rakyat.

'Jika semua pihak terbuka, kami sedia memainkan peranan tersebut bersama-sama rakan media RTM dan Awani demi memperkayakan demokrasi negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!