'Sebelum meninggal dunia, adik sempat tolong semua penumpang'

Ahmad Nasaruddin (kiri) maut dalam tragedi candat sotong selepas bot dinaiki karam.
Ahmad Nasaruddin (kiri) maut dalam tragedi candat sotong selepas bot dinaiki karam.
A
A
A

KUALA NERUS –​ "Sebelum meninggal dunia, arwah adik sempat tolong semua penumpang dulu. Mungkin sebab keletihan, dia hilang tenaga."

​Demikian kata Ahmad Firdaus Mohmad Jalil, 41, abang sulung kepada Ahmad Nasaruddin, 37, yang dilaporkan maut dalam kejadian bot karam ketika menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu, di sini, pada Jumaat.

​Menurut Ahmad Firdaus, dia sama sekali tidak menyangka kejadian malang itu menimpa adik keempatnya yang bekerja sebagai juruelektrik kerana tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan oleh mangsa sebelum ini.

Keadaan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus.
Keadaan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam ketika candat sotong: Nelayan maut sempat potong tali sauh selamatkan 11 nyawa

​Dia yang menetap di Gong Batin, di sini hanya mengetahui tragedi tersebut kira-kira jam 10 malam ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Batin, di sini.

​"Masa dapat tahu kejadian itu, saya terus ke jeti dan sempat melihat arwah adik saya sebelum dibawa naik ambulans untuk ke hospital.

​"Arwah sebenarnya baru dua tahun mula sertai trip mencandat sotong ini. Saya sendiri pun mencandat juga.

Artikel Berkaitan:

Keadaan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus.
Keadaan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus.

​"Masa kejadian itu memang saya tidak boleh hubungi dia sebab telefon bimbit dia hilang dan keadaan masa tu sangat kelam-kabut, jadi saya faham," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini pada Sabtu.

​Ahmad Firdaus berkata, jenazah adiknya yang masih bujang itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng selepas solat Zohor, manakala urusan solat jenazah akan diimamkan di Masjid Bukit Tok Beng.

​Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah bot mencandat sotong yang membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan dan seorang tekong karam di tengah laut kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.

Ahmad Firdaus.
Ahmad Firdaus.

​Insiden itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin, manakala 11 lagi mangsa berjaya diselamatkan.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga individu telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.

​Beliau berkata, dua daripada mereka menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang manakala seorang lagi mangsa masih menerima rawatan susulan.

Ahmad Nasaruddin yang dilaporkan maut dalam kejadian bot karam ketika menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.
Ahmad Nasaruddin yang dilaporkan maut dalam kejadian bot karam ketika menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.

​Mengulas mengenai kejadian, Azli berkata, ruangan enjin bot berkenaan dimasuki air ketika berada di tengah laut kira-kira jam 8.40 malam.

Katanya, ​air didapati naik terlalu cepat dan mangsa sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mencari bot berhampiran bagi mendapatkan bantuan sebelum ia dilaporkan karam.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!