Mampukah manifesto PH tarik pengundi, rampas Johor daripada BN?

PENGUMUMAN manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai ini menandakan permulaan fasa penting dalam persaingan politik negeri itu.
Antara manifesto yang paling mendapat perhatian ialah hasrat menjadikan Johor sebagai 'Shenzhen Asia Tenggara' iaitu sebuah hab ekonomi, teknologi dan inovasi bertaraf antarabangsa.
Visi ini memberi gambaran bahawa PH mahu membawa naratif pembangunan yang lebih besar daripada sekadar janji kebajikan.
Dari sudut politik, pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana Johor sememangnya memiliki asas ekonomi yang kukuh.
Kedudukannya yang bersempadan dengan Singapura, infrastruktur yang semakin berkembang dan kehadiran pelabuhan serta kawasan perindustrian menjadikan negeri itu mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi serantau.
Justeru, manifesto itu dilihat dibina berdasarkan kekuatan dan kelebihan sedia ada di Johor.
Bagaimanapun, persoalan utama ialah sama ada visi yang besar ini mampu diterjemahkan kepada keyakinan pengundi atau tidak?
Ini kerana tanpa penjelasan yang meyakinkan, slogan besar berisiko dianggap sekadar retorik politik dan boleh digunakan oleh pihak lawan untuk tujuan berkempen.
Dalam masa sama, kekuatan Barisan Nasional (BN) di negeri Johor tidak boleh dipandang ringan.
Sebagai parti yang telah lama mentadbir negeri itu, BN mempunyai jentera akar umbi yang tersusun, hubungan rapat dengan masyarakat setempat dan rekod pentadbiran yang menjadi asas kepada kempen mereka.
Faktor ini memberikan kelebihan dari segi mobilisasi pengundi.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berpendapat, kemampuan melaksanakan manifesto akan menjadi ukuran utama pengundi, bukan sekadar nilai atau jumlah tawaran yang diumumkan.
Beliau berkata, manifesto PH kali ini menawarkan agenda yang lebih bercita-cita tinggi berbanding pendekatan yang lazim diketengahkan dalam PRN.
Bagaimanapun, isu paling besar dalam PRN Johor kali ini mungkin bukan manifesto semata-mata, tetapi tahap keterujaan rakyat terhadap pilihan raya itu sendiri.
Jadi persoalannya, mampukah PH menawan Johor dengan menarik lebih ramai pengundi pada PRN kali ini menerusi manifestonya yang berteraskan pembangunan dan ekonomi?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

