Alas perut dengan umbut pisang, pucuk ubi kayu

Mohamad Sahabudin (kanan) meninjau keadaan buruh warga asing yang terputus bekalan makanan di Baling hari ini.
Mohamad Sahabudin (kanan) meninjau keadaan buruh warga asing yang terputus bekalan makanan di Baling hari ini.
A
A
A

BALING - Seramai 13 buruh warga asing dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh terpaksa memakan pucuk kayu sebagai alas perut akibat kehabisan bekalan makanan.

Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji harian terputus bekalan makanan kerana tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Yusnizar Hutabarat, 57, berkata, sejak PKP dia tidak dapat bekerja dan terpaksa mencatu makanan selain mengutip ulam kampung untuk mengalas perut.

"Saya bekerja di sini sejak tiga tahun lalu dan bila PKP saya tiada gaji jadi kutip apa sahaja yang ada di sekitar rumah untuk dijadikan makanan termasuk umbut pisang, bunga betik dan pucuk ubi kayu," katanya ketika di temui di rumah kongsi berdekatan Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Abdul Ghani, 40, dari Myanmar pula berkata, sejak PKP, mereka hanya makan nasi ala kadar berlaukkan ikan kering malah pernah makan dengan garam sahaja.

"Saya makan apa yang ada termasuk nasi dengan garam bagi menahan lapar.

"Apabila tidak ada makanan lagi saya kutip batang pisang, buah dan bunga betik," katanya.

Kesusahan warga asing itu mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohamad Sahabudin Besher Mohamad yang hadir menyampaikan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, atas dasar kemanusiaan, mereka tampil menghulurkan bantuan pada ketika negara berdepan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Mereka juga terkesan disebabkan gaji diperolehi secara harian, jadi mereka terputus bekalan makanan," katanya.