Mercu tanda pembangunan pendidikan Islam Orang Asli

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyantuni masyarakat setempat selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SMAR Nurul Hidayah Kampung Kenang pada Selasa.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyantuni masyarakat setempat selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SMAR Nurul Hidayah Kampung Kenang pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI SIPUT – Penubuhan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah di Kampung Kenang di sini disifatkan sebagai mercu tanda penting terhadap pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sekolah berkenaan yang bermula sebagai pusat pengajian dakwah dan fardu ain kini berkembang menjadi pusat pendidikan pertama di negeri ini yang menawarkan kurikulum akademik dan agama secara seragam.

Menurut baginda, selepas lebih tiga dekad penubuhannya institusi itu berjaya melakar sejarah dalam membangunkan masyarakat Orang Asli khususnya di Perak.

"Alhamdulillah kemudahan pendidikan yang disediakan di sekolah ini telah membantu dan berperanan sebagai pemangkin membawa perubahan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Kenang.

"Penubuhan sekolah ini merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian SMAR Nurul Hidayah Kampung Kenang di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir mengiringi baginda berdua, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, kejayaan mewujudkan sekolah tersebut mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam memastikan setiap anak tanpa mengira latar belakang dan lokasi geografi mendapat peluang sama untuk menimba ilmu.

Artikel Berkaitan:

Jelas baginda, perasmian sekolah berkenaan juga sebagai meraikan pencapaian daripada usaha gigih selama 32 tahun sejak penubuhan Sekolah Agama Rakyat Orang Asli pada 11 Februari 1994.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham Ustaz Haji Halimin Abdolah yang mencetuskan idea penubuhan sekolah berkenaan ketika berkhidmat sebagai Penyelia Mubaligh Islam Perak.

Sultan Nazrin bertitah, institusi itu bermula dalam keadaan serba daif di sebuah surau kampung dengan pembiayaan hasil sumbangan wakaf dan semangat gotong-royong masyarakat.

"Dengan dukungan MAIPk bersama Jabatan Agama Islam Perak serta sokongan padu masyarakat Orang Asli, institusi ini terus berkembang sehingga terbinanya sebuah kompleks pendidikan selesa dan tersusun.

"Ia menjadi mercu tanda pembangunan dan pembaharuan pendidikan yang lebih dinamik serta berdaya saing," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan SMAR Nurul Hidayah memainkan peranan strategik dalam landskap pendidikan Perak kerana bukan sahaja berjaya melahirkan modal insan berilmu, malah menjadi benteng memelihara akidah, syariat dan akhlak generasi muda.

Baginda bertitah, pencapaian pelajar sekolah itu amat membanggakan apabila sebahagian daripada mereka kembali berbakti kepada masyarakat sebagai pendidik dan pemimpin bagi memajukan komuniti Orang Asli.

Sehubungan itu, baginda berharap prasarana baharu sekolah tersebut dapat meningkatkan mutu pengajaran dan menyemarakkan semangat pelajar untuk menuntut ilmu.

"Semoga sekolah ini akan terus berperanan sebagai tapak semaian melahirkan lebih ramai generasi Orang Asli yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki pegangan agama yang kukuh, akhlak yang mulia dan semangat kepimpinan yang tinggi.

"Jadikanlah sekolah ini sebagai pusat kecemerlangan akademik dan sahsiah; yang dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional Islam serta mampu memimpin masyarakat berpaksikan nilai-nilai Rabbani," titah baginda.

Pada akhir titah, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga, masa, fikiran dan material dalam menjayakan pembangunan sekolah berkenaan.

SMAR Nurul Hidayah yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat Orang Asli Nur Hidayah telah ditubuhkan 11 Februari 1994.

Penubuhan ini merupakan satu langkah berani lagi signifikan bagi menyediakan akses pendidikan Islam secara formal dan tidak formal, khusus dalam menguruskan kebajikan serta menyalurkan bimbingan ilmu agama buat saudara se-Islam.

Pada 21 November 1997, Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah telah didaftarkan secara sah di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.

Keperluan untuk menyediakan kesinambungan pendidikan pasca-sekolah rendah telah mendorong kepada penubuhan kelas lanjutan fardu ain pada 9 September 2002 dengan bimbingan awal diberikan kepada 9 orang pelajar perintis.

Pada 9 April 2013, sekolah ini telah didaftarkan secara sah sebagai sebuah SMAR Orang Asli pertama di Malaysia dan terus mengorak langkah ke hadapan dengan melaksanakan Kurikulum Pendidikan Kebangsaan di samping mengekalkan kandungan pengajian agama.

SMAR Nurul Hidayah ketika ini mempunyai 148 pelajar, 18 tenaga pengajar dan dua tenaga pengurusan dan sokongan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!