Terpaksa ambil peluang buka salon kerana tekanan kewangan

Selvan
Selvan
A
A
A

SHAH ALAM - Tekanan kewangan memaksa pengusaha kedai gunting rambut mengambil peluang untuk beroperasi setelah kebenaran diberikan kerajaan, namun dengan mengambil kira aspek keselamatan sewajarnya.

Presiden Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas), AK Selvan berkata, 70 peratus daripada ahli Mahas berdepan masalah kewangan yang kritikal untuk sara hidup dan kos sewa premis, dibimbangi berdepan risiko gulung tikar.

Menurutnya, operasi perniagaan sedia dijalankan dengan mematuhi keperluan prosedur langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu perlindungan diri, pembersih tangan, suhu badan pelanggan disaring dan semua alatan gunting rambut pelanggan juga dicuci dengan sempurna.

"Kebanyakan mereka berdepan tekanan sewa kedai kerana tidak mendapat penangguhan daripada pemilik. Sewa antara RM4,000 hingga RM5,000 dikenakan tanpa diskaun. Jika tidak bayar, kedai terpaksa tutup terus.

"Pengusaha juga ada keluarga yang perlu disara, para pekerja juga walaupun warga asing, mereka juga ada keluarga untuk diberi makan. Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan tidak memberi manfaat secara terus kepada pengusaha seperti kami.

"Jadi kami mengalami kesulitan. Tiada jalan lain selain daripada buka kedai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, sebanyak 20 hingga 30 peratus ahli Mahas yang merupakan pemilik premis perniagaan mungkin tidak mempunyai tekanan seperti penyewa susulan penangguhan bayaran balik pinjaman bank yang dilaksanakan.

Sehubungan itu katanya, golongan ini boleh memilih untuk tidak beroperasi berbeza dengan majoriti ahli lain, melainkan kerajaan memberi bantuan subsidi sewaan premis yang merupakan kos tinggi terpaksa ditanggung.

Artikel Berkaitan:

"Untuk dua minggu pertama kita akur dengan arahan kerajaan kerana kita masih lagi boleh gunakan simpanan yang ada tetapi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilanjutkan, kami bimbang putus sumber kewangan," katanya.