Hidup susah, mati pun susah

Kawasan tanah perkuburan Islam - Gambar hiasan
Kawasan tanah perkuburan Islam - Gambar hiasan
A
A
A

PETIKAN dialog “hidup susah, mati pun susah” dalam filem Madu Tiga suatu ketika dahulu pernah mencuit hati penonton.

Namun dalam realiti hari ini, dialog tersebut kembali dipetik masyarakat apabila timbul isu pengurusan jenazah yang didakwa tergendala akibat pertikaian berkaitan permit pengebumian dan caj pengurusan.

Isu ini menjadi tular selepas sebuah badan kebajikan mendakwa mereka telah menguruskan jenazah atas permintaan waris.

Namun, timbul pertikaian apabila dikatakan proses pengebumian hanya dapat diteruskan selepas wakil pengurusan masjid hadir di tanah perkuburan.

Dalam masa sama, tersebar dakwaan berkaitan permit pengebumian serta caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan oleh pihak pengurusan masjid.

Walaupun fakta sebenar masih memerlukan penjelasan rasmi daripada semua pihak, dalam Islam, pengurusan jenazah ialah fardhu kifayah.

Maksudnya, masyarakat Islam memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan jenazah dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan dengan segera.

Tidak dinafikan, prosedur pentadbiran penting bagi memastikan setiap urusan berjalan teratur, namun pelaksanaannya juga perlu mengambil kira keadaan waris yang sedang berdepan detik paling sukar dalam kehidupan mereka.

Apa salahnya jika urusan yang paling utama diselesaikan terlebih dahulu, manakala perkara-perkara pentadbiran yang tidak menjejaskan pengebumian disempurnakan selepas itu, selagi tidak bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Ketika inilah badan kebajikan dan institusi masjid memainkan peranan penting membantu keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Pada masa sama, pihak masjid dan jawatankuasa memikul amanah memastikan semua urusan dilaksanakan mengikut hukum syarak.

Justeru, apabila timbul dakwaan bahawa urusan pengebumian tertangguh akibat isu bayaran atau prosedur, imej institusi agama turut terkesan.

Sebabnya, tanpa penjelasan yang jelas dan segera, akan ada pelbagai andaian, spekulasi dan persepsi negatif.

Lebih membimbangkan apabila institusi masjid, yang sepatutnya menjadi tempat umat Islam mendapatkan khidmat dan perlindungan, akhirnya menjadi sasaran kecaman.

Apa yang berlaku seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak; pengurusan jenazah memerlukan kerjasama erat antara waris, badan kebajikan, pihak masjid dan jabatan agama.

Setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing, namun matlamatnya tetap sama, iaitu memastikan urusan terakhir seorang Muslim disempurnakan dengan penuh hormat, ihsan dan tanpa sebarang kekeliruan.

Sebabnya, apabila timbul persepsi bahawa “hidup susah, mati pun susah”, ia boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal agama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!