MB Selangor nafi perintah berkurung di Seksyen 6 Shah Alam

Amirudin menafikan khabar angin Seksyen 6, di sini bakal dikenakan tindakan perintah berkurung.
Amirudin menafikan khabar angin Seksyen 6, di sini bakal dikenakan tindakan perintah berkurung.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan penularan khabar angin yang memaklumkan Seksyen 6 di sini akan dikenakan tindakan perintah berkurung.

Amirudin menerusi akaun Facebooknya memaklumkan maklumat yang tular itu tidak benar sama sekali.

"Saya dimaklumkan terdapat khabar angin bahawa Seksyen 6, Shah Alam akan dikenakan ‘lockdown’. Perkara ini tidak benar sama sekali.

"Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hanya melakukan saringan komuniti awal buat golongan yang berisiko seperti warga emas dari rumah ke rumah," katanya.

Beliau berkata, saringan berkenaan adalah percuma dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Selangor untuk membendung Covid-19.

Terdahulu, satu posting berserta beberapa keping gambar yang dimuat naik tular di media sosial.

Individu yang memuat naik posting berkenaan mendakwa kesemua penduduk di satu lorong perumahan di Seksyen 6 di sini, dikuarantin.

"Duduk rumah kami dah kena kuarantin satu jalan, moga keluarga yang terlibat diberi kesembuhan. Amin doa kami bersama kamu," menurut kenyataan yang tular itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Facebook rasminya memaklumkan pejabat kesihatan daerah dan pihak keselamatan melakukan sekatan di laluan masuk Jalan Puyuh 6/1D bermula jam 6 petang hari ini bagi tujuan memudahkan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah melakukan saringan untuk mencegah penularan wabak penyakit Covid-19.

Menurut kenyataan itu, sekatan tersebut tidak menghalang penduduk untuk melakukan urusan harian tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan.

"Penduduk dinasihatkan berada di rumah masing-masing sepertimana diperintahkan iaitu bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi dan terus menetap di rumah sekiranya tiada urusan yang mendesak.

"Penduduk juga dimohon untuk bertenang dan dinasihatkan untuk mendapatkan info dan maklumat yang sahih. Ayuh, bersama-samalah kita putuskan rantaian virus Convid-19 dari terus merebak demi negara dan keluarga tercinta," menurut kenyataan itu.